Syarikat, pengarah didenda jual mikrofon tanpa wayar tidak diperakui

Bernama
Mac 29, 2022 18:37 MYT
Mahkamah memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat menjual kelengkapan peralatan muzik dan pengarahnya masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui SIRIM Berhad (Sirim).
Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas East-Con Trading Sdn Bhd dan pengarahnya Chai Gua Fang, 63, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda.
Kedua-dua OKS didakwa menjual seunit audio video sender yang tidak diperakui kepada seorang individu dengan harga RM1,700 pada 23 Jun 2020.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya didakwa menjual mikrofon tanpa wayar yang tidak diperakui kepada seorang individu dengan harga RM238 pada 11 Mac 2020.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 41-48, Lower Ground Floor, Kompleks Karamunsing, di sini.
Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nasrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS diwakili peguam Ryan So.
-- BERNAMA
#mikrofon tanpa wayar #wireless microphone #Sirim #mahkamah
;