Syarikat penerbangan perlu pasti penumpang ada MySejahtera, kad pengembara

Bernama
April 1, 2022 22:25 MYT
Khairy berkata, mempunyai kad pengembara juga adalah syarat yang ditetapkan dalam protokol kesihatan Malaysia ketika ini. - Bernama
SEPANG: Syarikat penerbangan perlu memastikan penumpang ke Malaysia sudah memuat turun aplikasi MySejahtera dan mendapatkan kad pengembara sebelum berlepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata selain melancarkan urusan dokumentasi pengembara apabila tiba di Malaysia, mempunyai kad pengembara juga adalah syarat yang ditetapkan dalam protokol kesihatan Malaysia ketika ini.
"Saya telah bertanya kepada pengembara berkaitan dengan pengalaman mereka (ke Malaysia), dan mereka memaklumkan tiada apa-apa masalah, sangat mudah untuk mereka dapat kad pengembara dalam MySejahtera.
"Dan ini (kad pengembara) telah banyak membantu, sebab itu kita tidak nampak apa-apa kesesakan berlaku di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan pintu masuk antarabangsa yang lain," katanya pada sidang media selepas meninjau perkembangan pembukaan semula sempadan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini hari ini.
SEMUA MENGENAI PEMBUKAAN SEMPADAN NEGARA DI SINI
Khairy berkata seramai 346 anggota kesihatan turut ditugaskan secara syif di 75 pintu masuk antarabangsa iaitu udara, laut dan darat di seluruh negara mulai hari ini sempena pembukaan semula sempadan.
"Di KLIA dan klia2, jumlah keseluruhan anggota kesihatan yang ditugaskan ialah 250 orang. Mereka akan membantu agensi lain untuk memastikan semua protokol kesihatan dapat dipatuhi oleh semua pengembara yang masuk ke Malaysia," katanya.
Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Buka Sempadan | Khairy tinjau proses di KLIA2
Dalam pada itu, Khairy berkata kestabilan politik dan pimpinan kerajaan di bawah Ismail Sabri banyak membantu negara sehingga sampai ke tarikh keramat hari ini, iaitu pembukaan semula sempadan negara.
"Bukan hanya sempadan buka, tapi prosedur operasi standard (SOP) yang lain dapat kita longgarkan seperti solat Jumaat dapat kita rapatkan saf. Ini adalah usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang telah meletakkan satu 'exit plan' yang jelas... ini adalah pemangkin kepada pemulihan negara," katanya.
-- BERNAMA
#pembukaan sempadan #Khairy Jamaluddin #MySejahtera #kad pengembara
;