Syarikat penerbangan minta penumpang timbang berat sebelum berlepas
Agensi
Mei 31, 2023 22:39 MYT
Mei 31, 2023 22:39 MYT
WELLINGTON: Syarikat Air New Zealand dilaporkan meminta penumpang untuk menaiki mesin penimbang sebelum menaiki penerbangan.
Memetik The Independent, syarikat penerbangan itu mensasarkan 10,000 penumpang dalam tempoh sebulan sepanjang proses tinjauan.
Ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam memastikan operasi pesawat yang selamat dan cekap manakala juruterbang juga perlu mengetahui jumlah berat muatan.
Syarikat penerbangan itu turut berjanji tiada data dapat dilihat di mana-mana tempat dan data berat timbangan akan kekal dirahsiakan termasuk dalam kalangan kakitangan syarikat penerbangan.
"Kami menimbang segala sesuatu yang dimasukkan ke dalam pesawat dari kargo hingga makanan di dalam pesawat dan juga apa yang terkandung dalam bagasi," kata pakar peningkatan kawalan muatan beban, Alastair James dalam satu kenyataan.
Menurut peraturan pihak berkuasa, syarikat penerbangan mempunyai pelbagai pilihan untuk menganggarkan berat penumpang.
Pada masa ini, syarikat penerbangan menggunakan "jisim andaian" dengan menganggarkan jumlah berat penumpang berdasarkan angka yang sudah ditetapkan.
Pada masa ini, berat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi orang yang berumur 13 tahun ke atas adalah 86 kg termasuk bagasi bimbit.
Syarikat penerbangan tersebut memaklumkan tinjauan akan dilakukan di pintu masuk ke lounge bagi penerbangan Air New Zealand terpilih yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland bermula pada minggu ini sehingga 2 Julai depan.