Syarikat penerbangan diminta turunkan harga tiket, bantu anak Sarawak pulang beraya

Nuzuluddin Abdul Razak
April 11, 2022 16:26 MYT
Kata Fazzrudin rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung bersama ahli keluarg mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung berikutan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi. - Gambar fail.
KUCHING: Syarikat penerbangan digesa untuk mengurangkan harga tiket penerbangan ke Sarawak menjelang perayaan Aidilfitri Mei depan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata hasil pemeriksaan di laman sesawang syarikat penerbangan mendapati harga tiket telah melambung tinggi walaupun baru seminggu berpuasa.
Tegas Fazzrudin peningkatan harga tiket ini akan membebankan rakyat terutama golongan yang baru bekerja di Semenanjung Malaysia.
“Saya memahami kebimbangan dan kekecewaan rakyat Sarawak yang tinggal di luar negeri yang ingin pulang menyambut Aidilfitri selepas berpisah dengan keluarga akibat COVID-19 beberapa tahun lalu.
“Mereka bekerja di Semenanjung bersama ahli keluarga masing-masing, dan mereka mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman ekoran harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi,” katanya.
Fazzrudin pada masa yang sama meminta agar Kementerian Pengangkutan Persekutuan untuk meneliti perkara ini sekaligus menjamin penurunan harga tiket.
“Dengan peningkatan kekerapan penerbangan, ia akan menyebabkan penurunan harga tiket serta menjadikan perjalanan pulang lebih mampu milik untuk rakyat Sarawak," ujarnya.
Terdahulu Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin memberitahu kekerapan penerbangan ke destinasi utama di Sarawak ditingkatkan ke 615 penerbangan setiap minggu berbanding 576 penerbangan sebelum ini.
#tiket penerbangan #balik raya #Fazzrudin Abdul Rahman #COVID-19
;