Syarikat penerbangan baharu, Ascend Airways bakal beroperasi di Malaysia hujung 2025
Nabilah Khaleeda
Mac 10, 2025 12:15 MYT
Mac 10, 2025 12:15 MYT
Malaysia bakal menyaksikan kemunculan syarikat penerbangan baharu, Ascend Airways Malaysia Sdn Bhd, yang dijangka memulakan operasi pada akhir tahun ini. - Gambar ihsan laman web Ascend Airways
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyaksikan kemunculan syarikat penerbangan baharu, Ascend Airways Malaysia Sdn Bhd, yang dijangka memulakan operasi pada akhir 2025.
Menurut laporan Business Times, operasi akan dimulakan dengan dua pesawat Boeing B737-800s dan empat pesawat B737 MAX 8s.
Namun, tidak seperti syarikat penerbangan baharu lain yang sukar bersaing dengan gergasi tempatan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia, Ascend Airways akan menumpukan kepada perkhidmatan pesawat, krew, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) untuk pengangkutan kargo dan penumpang.
Ascend Airways yang berpangkalan di United Kingdom merupakan sebahagian daripada Avia Solutions Group (ASG), penyedia ACMI terbesar dunia berpangkalan di Dublin, Ireland.
ASG memiliki lebih 200 pesawat serta mengendalikan 16 perniagaan merangkumi ACMI, penerbangan kargo, pengendalian darat, penyewaan pesawat, penyelenggaraan dan pembaikan (MRO), serta platform media AeroTime.
“Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” menurut kenyataan di laman rasmi Ascend Airways.
Pada November 2024, Ascend Airways menerima kelulusan bersyarat untuk Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang sah bermula 15 November 2024 hingga 14 November 2025.
Ketika ini, syarikat sedang memohon Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, mengesahkan permohonan tersebut kepada Business Times minggu lalu.
"Selepas menerima AOC, Ascend Airways perlu mendapatkan ASP penuh daripada Mavcom sebelum memulakan operasi, yang memerlukan sekurang-kurangnya 90 hari untuk diproses dan boleh diberikan sehingga 10 tahun.
"Setakat ini, terdapat 13 pemegang ASP di Malaysia, dengan dua syarikat, termasuk Ascend Airways, menerima ASP bersyarat," jelasnya.
Ascend Airways diterajui oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Germal Singh Khera, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri penerbangan tempatan dan pernah memainkan peranan penting dalam penubuhan Mavcom pada 2015.