Syarikat pembinaan perlu ada sijil ISO antirasuah dalam tempoh dua tahun - SPRM

Faida Rahim
September 26, 2024 13:31 MYT
Azam bercakap di sidang media selepas perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 Tahun 2024 di Bangi pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
BANGI: Syarikat sektor pembinaan di negara ini diingatkan untuk memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS) dalam tempoh dua tahun daripada sekarang.

Ringkasan AI
  • Pensijilan Wajib: Syarikat sektor pembinaan di Malaysia diwajibkan memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS) dalam tempoh dua tahun untuk membida projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta.
  • Tujuan Pensijilan: Langkah ini bertujuan mengurangkan amalan rasuah di peringkat dalaman dan luaran dalam sektor pembinaan.
  • Kontrak Kerajaan: SPRM menumpukan perhatian kepada kontrak-kontrak kerajaan sahaja, dan syarikat yang tidak memiliki pensijilan ABMS mungkin tidak akan terlibat dalam tender di bawah Kementerian Kewangan selepas tempoh dua tahun.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan syarikat pembinaan diwajibkan ISO antirasuah itu apabila membida projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta.
Tambah beliau, langkah ini bagi mengurangkan peningkatan amalan rasuah di peringkat dalaman dan luaran.
“Dalam tempoh dua tahun dari sekarang syarikat-syarikat berkenaan perlu mendapatkan pensijilan ISO 37001 melibatkan syarikat bagi projek RM100 juta ke atas.
“Buat masa ini masih dibenarkan, tapi selepas dua tahun maka syarikat-syarikat terlibat dalam sektor pembinaan perlu mempunyai pensijilan ABMS.
“Jika tiada berkemungkinan mereka tidak terlibat dalam tender di bawah Kementerian Kewangan, itu syaratnya. Jadi mereka kena lengkapkan syarikat berkenaan dengan pensijilan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 Tahun 2024 di Bangi pada Khamis.
Tambah beliau, sektor pembinaan yang menjadi pemerhatian SPRM melibatkan kontrak-kontrak kerajaan sahaja.
“Sektor pembinaan yang mana kami tumpukan kontrak-kontrak mana melibatkan kerajaan sahaja. Itu maksud saya. Di mana syarikat pembinaan ini ambil bahagian dalam di peringkat negeri atau persekutuan.
“Ini menjadi pemerhatian kami dan kita juga berhubung dengan perkara ini, memang banyak berlaku ketirisan,” katanya.
#Azam Baki #SPRM #ISO antirasuah #syarikat pembinaan #bida projek kerajaan
;