Syarikat pembinaan jangan 'pilih bulu', utamakan tenaga mahir tempatan - Ahmad Zahid
Bernama
Ogos 6, 2024 13:45 MYT
Ogos 6, 2024 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Semua syarikat pembinaan diingatkan agar tidak 'pilih bulu' dan perlu mengutamakan tenaga mahir tempatan dalam melantik pekerja sektor berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan akan menanggung kerugian dalam jangka masa panjang sekiranya sektor pembinaan terus bergantung kepada pekerja asing.
"Pihak pemaju perumahan, kontraktor dan subkontraktor jangan pilih bulu dalam mencari pekerja-pekerja dalam sektor pembinaan
"Ya, kos mungkin kurang kalau pekerja asing diambil tapi dari segi jangka panjang kos ditanggung oleh negara dan kos kepada GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar)...akan merugikan negara maka dalam keadaan begitulah pada hemat saya apa dilakukan ABM (Akademi Binaan Malaysia) dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) Technologies adalah langkah proaktif yang harus mendapat dukungan daripada pihak kerajaan," katanya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Ir Yusof Abd Wahab.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan juga mahu sektor pembinaan Malaysia digerakkan sepenuhnya oleh tenaga mahir tempatan.
Beliau sangat prihatin berhubung isu berkaitan TVET kerana katanya pada tahun ini sahaja kira-kira 60,000 jurutera diperlukan namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi tenaga tempatan terutama dalam kerja-kerja berkemahiran.
"Untuk itu saya amat berterima kasih kepada 12 rakan menteri dengan 12 kementerian ini mempunyai TVET dan antara TVET paling aktif adalah daripada Kementerian Kerja Raya di bawah CIDB," katanya.
Selain itu, beliau berkata Majlis TVET Negara kini mempunyai sekretariatnya sendiri dan diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri susulan langkah-langkah penyelarasan yang dilakukan.