Syarikat pembekal sandwic kontroversi dakwa bahan mentah ada sijil halal
Astro Awani
Januari 15, 2025 18:22 MYT
Januari 15, 2025 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal sandwic kontroversi, Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, mendedahkan bahawa bahan mentah digunakan dalam pembuatan produk makanan itu memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ringkasan AI
- Shake And Bake Cafe Sdn Bhd mendedahkan bahan mentah sandwic mereka memiliki sijil halal daripada Jakim.
- Syarikat berjanji akan bekerjasama sepenuhnya dengan KPDN dan Jakim dalam siasatan mengenai logo 'ham and cheese' yang kontroversi.
- KPDN menyerbu kilang di Sunway Damansara kerana disyaki menyalah guna logo halal pada produk sandwic.
Syarikat tersebut, dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penghasilan sandwic itu menggunakan roti, keju, dan kepingan daging ayam yang diperakukan halal oleh Jakim.
"Syarikat mengesahkan kepingan daging ayam digunakan dalam sandwic terbabit memiliki sijil halal yang sah daripada Jakim.
"Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan Jakim untuk membantu siasatan kes ini," tulis kenyataan itu.
Shake And Bake Cafe turut memaklumkan bahawa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta JAKIM sudah melakukan siasatan ke atas premis mereka pada jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.
Pada masa sama, pihaknya berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan Jakim untuk membantu siasatan kes.
Difahamkan, logo 'ham and cheese' ditampal pada pembungkusan sandwic yang menjadi kontroversi itu bukan dihasilkan syarikat pembekal terbabit.
Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kilang yang membuat sandwic itu di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.
Serbuan dilakukan hasil aduan diterima Jakim selepas isu itu tular di aplikasi TikTok berhubung penggunaan logo halal yang meragukan pada produk sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.