Syarikat pembekal kerajaan dicadang tandatangan ikrar integriti
Astro Awani
Oktober 16, 2015 07:49 MYT
Oktober 16, 2015 07:49 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan mencadangkan kerajaan mewajibkan semua syarikat pembekal berurusan dengan Kementerian Kewangan supaya menandatangani ikrar integriti.
Jelasnya, ia bagi memastikan syarikat terlibat mengamalkan sistem pematuhan yang ditetapkan dan sekali gus mengelakkan sebarang unsur rasuah.
Low berkata, cadangan itu akan dibawa ke kabinet tidak lama lagi.
"Ia adalah sebagai permulaan, bagi memastikan komitmen kami untuk mencegah rasuah dan dalam usaha memastikan syarikat berkenaan memulakan langkah melaksanakan sistem pematuhan," beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Penutup Bengkel Ikar Integriti Korporat (CIP) di sini, Jumaat.
Tambahnya, semua syarikat pembekal berkenaan perlu menandatangani ikrar integriti kerana kerajaan adalah pelanggan utama mereka.
Dalam pada itu, Low berharap Rang Undang-undang Liabiliti Korporat akan dapat dibentangkan di parlimen.
"Kami sedang dalam proses untuk memastikan rang undang-undang tersebut dapat dicadangkan. Kami jangkakan ia akan dapat dibawa ke parlimen pada sesi pertama 2016," katanya.
Sehingga kini, 592 organisasi telah menandatangai CIP sejak ia diperkenalkan pada 2014.
CIP merupakan satu dokumen yang membenarkan sesebuah syarikat atau agensi membuat komitmen mendukung prinsip mencegah rasuah.
Pihak yang menandatangani CIP berikrar dan berjanji untuk tidak terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah dan melaksanakan usaha-usaha pencegahan rasuah secara berterusan.