Syarikat pembalakan, pemilik fail saman RM60 juta terhadap Husam

Muhafandi Muhamad
Jun 27, 2022 11:40 MYT
Dua saman terhadap Husam (gambar) itu dikemukakan oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta manakala pemilik syarikat berkenaan, Mohd Hafiz Mohd Rasdin menuntut ganti rugi RM10 juta. -Gambar fail/Astro AWANI
KOTA BHARU: Sebuah syarikat pembalakan dan pemiliknya masing-masing memfailkan saman terhadap Pengerusi Save Kelantan Datuk Husam Musa berhubung dua hantaran didakwa berunsur fitnah di akaun Facebooknya.
Tuntutan saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Syazwan Hasim dan Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.
Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM60 juta di atas dakwaan berbaur fitnah berkaitan isu pembalakan di hutan simpan kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.
Dua saman itu dikemukakan oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta manakala pemilik syarikat berkenaan, Mohd Hafiz Mohd Rasdin menuntut ganti rugi RM10 juta.
Menurut peguam Azeel Eskandar Azmi, tindakan saman itu merujuk kepada hantaran Husam di akaun Facebooknya bertarikh 3 dan 6 Jun 2022 yang didakwa sebagai fitnah ke atas anak guamnya.
Husam memuat naik kenyataan bertajuk "kebetulan kontraktor balak Daulah ada kaitan dengan YB Hanifa", dan kenyataan kedua bertajuk "Kelantan dikuasai gandingan dua H, gandingan Hanifa-Hafiz dikatakan mercu tanda pemerintahan YB Datuk Ahmad Yakob".
Bercakap pada sidang media malam tadi, beliau berkata tuntutan saman dikemukakan Al Dar Resources merangkumi ganti rugi RM50 juta iaitu RM10 juta ganti rugi am akibat penerbitan perkataan fitnah dan RM40 juta ganti rugi khas akibat kehilangan pendapatan susulan penerbitan berbaur fitnah itu.
Plaintif juga menuntut menuntut satu perintah mengarahkan defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan sama ada sendiri atau melalui ejen daripada menerbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula perkataan fitnah.
Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman.
#Husam Musa #Azeel Eskandar #HSK Neggiri #pembalakan
;