Syarikat OGSE mesti terima peralihan tenaga - Rafizi

Bernama
Oktober 19, 2023 13:22 MYT
Rafizi berkata kerajaan sudah mendahului usaha peralihan tenaga itu dengan mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menggariskan 10 projek utama. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) mesti menerima peralihan tenaga kerana ia akan membantu mereka menyelesaikan banyak isu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
"Dengan membentuk semula model perniagaan melalui peralihan tenaga, saya yakin sektor itu akan terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan, seperti yang telah dilakukan selama bertahun-tahun," katanya ketika berucap pada persidangan National OGSE Roadshow 2023 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.
Rafizi berkata kerajaan sudah mendahului usaha itu dengan mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menggariskan 10 projek utama melibatkan pemain industri utama seperti Petronas, Gentari dan Tenaga Nasional Bhd yang akan membuka peluang pelaburan sehingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
"Ini adalah antara banyak usaha yang membuka bidang kerjasama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) OGSE, selain memudahkan penyahkarbonan dan meningkatkan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG)," katanya.
Selain itu, menteri berkata menunjukkan pematuhan ESG akan membantu syarikat menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
"Ini perlu menjadi usaha teratas untuk meningkatkan kemahiran kumpulan pekerja kita sekarang,'' katanya.
Menurut menteri itu, PKS merangkumi 85 peratus daripada syarikat OGSE teras di Malaysia.
"PKS OGSE menghadapi cabaran yang sama dengan PKS lain iaitu kekurangan akses kepada modal, persaingan sengit dengan pemain yang lebih besar, kekurangan bakat dan penggunaan teknologi.
"Ini bersandarkan fakta bahawa banyak syarikat OGSE masih pulih dari kesan jangka panjang kejatuhan harga minyak pada 2014 dan COVID-19," kata Rafizi.
Dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Resources Corporation, persidangan itu mengetengahkan beberapa kemajuan Pelan Tindakan OGSE sejak dilancarkan pada April 2021.
Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 bertujuan untuk menyediakan hala tuju kepada syarikat-syarikat OGSE untuk meningkatkan daya saing, kecekapan dan keupayaan teknologi mereka, serta menambah baik kekuatan kewangan industri OGSE melalui kepelbagaian ke dalam sektor penting.
-- BERNAMA
#Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas #OGSE #Rafizi Ramli #peralihan tenaga
;