Syarikat logistik, pengangkutan digalak pindah barangan 7 malam-7 pagi

Astro Awani
Mac 31, 2020 16:53 MYT
Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan mengakui barang keperluan asas termasuk makanan dan ubat-ubatan perlu dihantar ke destinasi tanpa sebarang masalah.
Syarikat logistik dan pengangkutan digalakkan memindahkan barangan mereka antara jam 7 malam hingga 7 pagi bagi membolehkan pergerakan lebih lancar sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan mengakui barang keperluan asas termasuk makanan dan ubat-ubatan perlu dihantar ke destinasi tanpa sebarang masalah.
"Kementerian dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) ingin mengingatkan semua pengendali, pemandu dan operator pengangkutan awam darat supaya mematuhi PKP dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan.
"Pada masa sama, merkea perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan dir. Ini adalah selaras dengan langkah-langkah yang telah ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memberikan fokus kepada usaha mengurangkan rantaian jangkitan COVID-19 dalam aspek pengangkutan awam.
"Waktu operasi bagi perkhidmatan bas henti-henti, bas ekspres, tren, rel dan terminalnya akan terus beroperasi dengan dihadkan kepada jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam seperti mana yang diumumkan sebelum ini.
"Perkhidmatan teksi dan e-hailing akan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari, berkuatkuasa 1 April 2020. Penghantaran makanan pula dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam." tambahnya lagi.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai topeng muka dan mengelakkan kesesakan semasa menggunakan pengangkutan awam sepanjang tempoh PKP.
#bas #COVID19 #kerajaan #keselamatan #kesihatan #koronavirus #menteri #operasi #teksi #Wee Ka Siong
;