Syarikat kurier mohon maaf, salah faham punca pekerja mogok

Fareez Azman
Februari 7, 2021 19:20 MYT
Syarikat itu menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku kerana sebahagian pekerja tidak berpuas hati dengan sistem pengagihan bonus yang kurang jelas. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan kurier J&T Express Malaysia Sdn Bhd hari ini memohon maaf atas tindakan beberapa pekerjanya mengendalikan bungkusan pelanggan dengan kasar seperti yang tular di media sosial.
Menerusi satu surat terbuka pada Ahad, syarikat itu menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku kerana sebahagian pekerja tidak berpuas hati dengan sistem pengagihan bonus yang kurang jelas.
"Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang telah bekerja selama satu tahun dan bonus (bagi yang bekerja kurang setahun) dibayar mengikut tempoh masa pekerja (bekerja).
"Oleh kerana kurang jelas sistem pengagihan bonus di kalangan pegawai jabatan, ia menyebabkan pengagihan bungkusan secara ganas yang berlaku pada 4 Februari dan (mereka) menghasut beberapa pekerja untuk membuat gangguan bersama, dan menyebarkan video ke media sosial," jelas surat terbuka itu.
BACA: Apa hal ni? Tular kakitangan syarikat kurier baling barang pelanggan
Sebelum ini, tular sebuah rakaman video memaparkan sekumpulan pekerja syarikat berkenaan bertindak membaling barangan di sebuah gudang.
Dari sudut video itu dirakam, kelihatan jelas seorang pekerja membaling bungkusan-bungkusan barangan, selain disambut teriakan beberapa kakitangan lain seperti meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu.
Mengulas lanjut, syarikat itu berkata, pengurusan cawangan negeri Perak segera menangani isu berkenaan dan semua pekerja telah kembali menjalankan tugas seperti biasa.
Turut dijelaskan, syarikat itu tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja.
"Kami ingin menjelaskan bahawa, J&T tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja, dan menjelaskan bahawa pihak kami akan bersedia menerima pengawasan dan pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan," jelas syarikat itu lagi.
J&T Express | Mohon maaf, salah faham punca pekerja mogok
Mengenai dakwaan netizen ada pekerja mencuri makanan dan minuman dari bungkusan yang dikendalikan, syarikat itu mengakui berlaku kelemahan pengurusan.
"Disebabkan peningkatan pesat dalam jumlah bungkusan dalam tempoh MCO (PKP), J&T mengambil lebih banyak bungkusan dari masyarakat dalam tempoh ini, jadi syarikat telah mengupah lebih banyak pekerja sementara dan hanya memberikan latihan yang asas kepada pekerja sementara.
"Ini merupakan kesalahan dalam pengurusan kami. Kami telah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa, serta menyelesaikan (isu) bungkusan yang hilang dengan cepat," jelas surat terbuka itu.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan menjelaskan akan meningkatkan lagi perkhidmatan dan pengurusan serta menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan pelanggan terhadap syarikat itu.
Syarikat berkenaan turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada pekerja barisan hadapan yang juga aset terbesar mereka atas usaha berterusan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
#kurier #j&t express #syarikat kurier #Tular #vira #baling barang #mogok #minta maaf #kelemahan
;