Syarikat korporat, NGO disaran laksana CSR pendidikan di Sabah

Bernama
Disember 19, 2022 09:15 MYT
Nizam Abu Bakar Titingan berkata ini termasuk membekalkan bantuan dan kepakaran yang sekali gus dapat memperkasakan lagi pencapaian akademik khususnya untuk sekolah luar bandar. -Gambar fail/Facebook
TAWAU: Lebih banyak syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan disaran tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan bidang pendidikan di Sabah.
Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ini termasuk membekalkan bantuan dan kepakaran yang sekali gus dapat memperkasakan lagi pencapaian akademik khususnya untuk sekolah luar bandar.
"Sabah Lead Convention 2022 misalnya adalah sebuah program CSR yang membantu memperkasa pendidikan anak-anak di Sabah dan membina kemahiran serta membentuk kepimpinan mereka... nilai kepimpinan ini sangat penting.
"Negara memerlukan kemenjadian pelajar yang seimbang dan holistik, berminda keusahawanan, maju ke depan dan dapat membawa negara ke tahap tertinggi dengan mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia," katanya ketika berucap merasmikan Sabah Lead Convention 2022 di sini pada Ahad.
Program dua hari itu, yang berakhir hari ini, adalah anjuran Syarikat Hap Seng Group dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan turut membabitkan penyertaan lebih 300 pelajar serta guru dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
Ketua Unit CSR Hap Seng Amidah Abidin pula berkata program sedemikian telah dilaksanakan sejak enam tahun lepas dan lebih 2,000 pelajar di seluruh Sabah menerima manfaat.
"Harapan kami supaya dapat membantu melahirkan pelajar yang serba boleh serta berkemahiran berfikir aras tinggi selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan permintaan revolusi industri," katanya.
-- BERNAMA
#NGO #CSR di Sabah #Nizam Abu Bakar Titingan #tanggungjawab sosial korporat
;