Syarikat korporat digalak jadi rakan sinergi KPM perluas pendidikan digital
Bernama
Disember 16, 2023 05:15 MYT
Disember 16, 2023 05:15 MYT
NIBONG TEBAL: Syarikat korporat digalak berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperluas pembelajaran dalam bidang digital yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) di peringkat sekolah.
Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek berkata, penyertaan mereka sebagai rakan singergi berupaya membantu usaha KPM ke arah memperkasakan pendidikan masa depan selaras dasar dan hala tuju yang digariskan dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
"Kita sudahpun meluncurkan dasar pendidikan digital berkonsepkan kelas masa depan yang memerlukan sedikit sebanyak pelaburan dan penyertaan daripada rakan-rakan yang berkepentingan.
"Justeru bagi menjayakan agenda pemerkasaan pendidikan digital ini, kita berharap lebih banyak syarikat korporat yang ada kepakaran dalam STEM dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dapat memohon kepada KPM untuk menjadi rakan sinergi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rintis dan Makmal STEAM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yok Eng Sungai Udang, di sini, pada Sabtu.
Fadhlina berkata, inisiatif mewujudkan makmal bersifat interaktif itu juga adalah satu usaha baik dan antara perkara yang sedang diangkat oleh KPM dalam memastikan agenda pendidikan digital mencapai matlamatnya.
"Di samping itu, paling penting ialah kompetensi guru dan anak-anak dari segi kefasihan digital... guru yang terlibat akan diberikan kursus supaya pembelajaran berteraskan digital ini dapat disampaikan secara berkesan," katanya. - BERNAMA