Syarikat korporat dan GLC disaran sumbang keuntungan dalam Tabung Pahlawan

Bernama
Julai 31, 2016 15:09 MYT
Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan kepada lima veteran Angkatan Tentera Malaysia yang cedera dalam pertempuran selepas merasmikan Kempen Tabung Pahlawan Tahun 2016 di sebuah hotel di ibu negara hari ini. - Foto BERNAMA
Syarikat korporat dan berkaitan kerajaan (GLC) disaran menyumbang sebahagian keuntungan mereka kepada Tabung Pahlawan, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata initiatif itu sebagai menghargai dan menghormati pengorbanan yang telah dilakukan veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) sepanjang mereka berkhidmat.
"Saya berasa dukacita apabila dimaklumkan hanya segelintir sahaja GLC mahupun korporat yang sudi menghulurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan. Bagi saya ia amat mengecewakan kerana kerajaan telahpun menggalakkan setiap keuntungan syarikat diperuntukkan kepada kebajikan masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat.
"Ingatlah keamanan yang dicapai pada hari ini hasil daripada darah dan keringat para veteran kita yang terdahulu," kata beliau ketika berucap melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2016 di sini, hari ini.
Datin Seri Rosmah yang juga Penaung Kempen Tabung Pahlawan menyeru orang ramai bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya dalam bentuk kewangan, sokongan kepada VAT, balu serta waris mereka yang terkorban dalam operasi mempertahankan negara.
Kata beliau, bantuan yang disumbangkan rakyat mampu memberi kelangsungan hidup kepada para veteran dan keluarga selain mendapat kehidupan yang lebih baik.
Datin Seri Rosmah dalam pada itu, berkata para veteran tentera seharusnya berasa bertuah kerana kerajaan prihatin dan tidak pernah melupakan sumbangan malah menjaga hal ehwal kebajikan mereka.
"Kerajaan Malaysia begitu prihatin membela bekas parajurit tanah air dengan pelbagai bantuan antaranya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, kerajaan mewujudkan skim bantuan dan kebajikan meliputi sara hidup bulanan, persekolahan, peralatan pesakit, kemasukan ke universiti dan bencana alam," kata beliau.
Setakat hari ini, Tabung Pahlawan berjaya mengumpul 1.4 juta yang disumbangkan oleh pelbagai sektor serta orang ramai.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
#GLC #Rosmah Mansor #syarikat berkaitan kerajaan #syarikat korporat #Tabung Pahlawan