Syarikat konsesi layak terima pampasan RM400 juta - Menteri Kerja Raya

Astro Awani
Februari 6, 2014 12:20 MYT
Syarikat konsesi lebuhraya layak mendapat pampasan kira-kira RM400 juta berikutan keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar bayaran tol tahun ini.
Ini disahkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media hari ini.
“14 lebuhraya, yang sepatutnya menaikkan kadar tol pada tahun ini, tidak akan berbuat demikian,” kata Fadillah.
Beliau berkata, kementerian akan membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, dengan mengkaji terma yang boleh dipersetujui bersama dengan pihak konsesi berkaitan kutipan tol.
"Kementerian akan memperincikan beberapa pilihan seperti penstrukturan semula kadar tol dengan kos operasi, kos penyelenggaraan, jumlah trafik, keuntungan atau kerugian syarikat serta kemudahan yang disediakan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan tiada kenaikan tol untuk tahun ini dan kerajaan perlu menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.
Fadillah berkata kementerian juga akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat konsesi untuk berbincang lebih lanjut berhubung penemuan dan cadangan Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin mengenai isu tol.
Beliau berkata kementerian turut akan mengadakan rundingan bersama dengan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi.
Katanya rundingan itu bagi mencari kaedah penyelesaian jangka pendek, sederhana dan jangka panjang berkait dengan lebuh raya sekali gus memberi pakej 'menang-menang' kepada semua pihak iaitu kerajaan, rakyat, syarikat, pelabur serta pemberi pinjaman.
Berikut merupakan 14 lebuhraya yang tiada kenaikan tol:
1. Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (Akleh)
2. Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)
3. Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
4. Lebuhraya Storm Water Management and Road Tunnel (Smart)
5. Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (Silk)
6. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
7. Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas)
8. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE)
9. Lebuhraya Shah Alam-Kuang (GCE)
10. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
11. Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)
12. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR)
13. Lebuh Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
14. Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke)
#bayaran #Fadillah Yusof #Menteri Kerja Raya #pampasan #syarikat konsesi #tol