Syarikat keselamatan, empat pengarah didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan
Bernama
Januari 8, 2025 17:54 MYT
Januari 8, 2025 17:54 MYT
KUALA TERENGGANU: Sebuah syarikat keselamatan dan empat pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan gagal melunaskan bayaran cukai perkhidmatan berjumlah RM186,909.08 termasuk penalti bagi 2021 hingga tahun lepas.
Perisai Sepadu Security Sdn Bhd dan empat pengarah - Mohd Yusoff Yunus, 64, anaknya Mira Nabihah, 29, dan Ahmad Afwan Mazlan, 27, - selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Seorang lagi pengarah yang juga anak Mohd Yusoff, Marini Najihah, 24, tidak hadir pada prosiding itu, dan peguam Azrul Alias yang mewakilinya memaklumkan wanita berkenaan sedang menduduki peperiksaan di institusi pengajian tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, OKS selaku orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didakwa gagal membayar cukai kepada Ketua Pengarah Kastam bagi tempoh bercukai antara 1 Julai 2021 hingga 29 Feb 2024.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Kastam Terengganu, Jalan Balik Bukit di sini, dengan pertuduhan terhadap OKS dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, OKS juga perlu membayar penalti berjumlah RM53,402.59 kerana tidak menjelaskan semua cukai itu mengikut tempoh, seperti yang diperuntukkan Seksyen 26(10) akta sama.
Pada prosiding itu, Azrul yang turut mewakili OKS lain merayu jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan kepada OKS, dikurangkan atas faktor kewangan anak guamnya.
Mahkamah membenarkan setiap OKS dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Feb ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nur Zahidah Razali dan Mohd Izwan Ismail.
-- BERNAMA