Syarikat Jaminan Kredit Perumahan lulus pembiayaan RM450 juta kepada 2,000 pembeli rumah pertama
Bernama
April 10, 2023 17:50 MYT
April 10, 2023 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan sehingga kini telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM450 juta kepada 2,000 pembeli rumah pertama sejak ditubuhkan pada 2007.
Jumlah pembiayaan tersebut merupakan kelulusan 100 peratus, kata SJKP dalam satu kenyataan hari ini.
"Dengan kelulusan melebihi 100 peratus yang diberikan oleh SJKP, para pembeli rumah pertama tidak perlu lagi risau untuk menyediakan deposit pembelian sebanyak 10 peratus kepada pemaju perumahan," katanya.
SJKP berkata sejak 2007 juga pihaknya juga telah membantu seramai 17,566 golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka dengan nisbah kelulusan 50 peratus kepada golongan tidak berpendapatan tetap dan 50 peratus lagi kepada golongan berpendapatan tetap.
Menurutnya, syarikat itu akan terus mendokong aspirasi kerajaan dalam usaha membantu golongan berpendapatan tidak tetap dan berpendapatan tetap memiliki rumah pertama.
Kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 telah memperuntukkan sebanyak RM5 bilion kepada Skim Jaminan Kredit Perumahan yang terbuka kepada golongan berpendapatan tidak melebihiRM11,000 untuk membeli rumah pertama dengan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000.
"Menjadi harapan SJKP melalui jaminan kerajaan ini, lebih banyak institusi kewangan turut memainkan peranan mereka untuk memberikan kemudahan pembiayaan kepada golongan sasaran yang ingin membeli rumah pertama mereka seterusnya dapat membantu menyediakan kemudahan asas kepada keluarga mereka," katanya.
--BERNAMA