Syarikat insurans disaran beri saringan percuma COVID-19
Fauzi Suhaimi
Mac 25, 2020 11:24 MYT
Mac 25, 2020 11:24 MYT
Semua syarikat insurans disarankan untuk turut sama memikul tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi saringan percuma bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H. Puvaniten berkata, usaha itu bagi membantu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berhasrat untuk meningkatkan jumlah ujian saringan dari 3,500 sehari kepada lebih 10,000 sehari.
Katanya, langkah berkenaan bagi membanteras penularan COVID-19 sekali gus dapat memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan daripada merebak.
“Usaha membanteras penularan wabak Covid-19 ini sedang giat dilakukan pihak kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), kementerian-kementerian seperti KKM, Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Apa yang boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat insurans ini adalah memberikan perkhidmatan saringan insurans percuma kepada semua pemegang-pemegang premium insurans untuk membuat saringan ini memandangkan banyak syarikat-syarikat insurans yang giat beroperasi di dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Puvaniten berkata, bukan masa yang sesuai bagi syarikat insurans untuk melihat sama ada prosedur saringan itu akan membawa keuntungan.
Sebaliknya, tegas beliau syarikat insurans perlu menjadi contoh teladan yang terbaik untuk memikul tanggungjawab besar ini.
"Janganlah asyik kita melihat komitmen kerajaan dan rakyat di dalam proses membanteras penularan COVID-19 ini malah syarikat-syarikat swasta juga harus menjadi contoh teladan yang terbaik yang sanggup memikul tanggungjawab besar ini.
“Bagaimanapun ia terserah kepada budi bicara agensi insurans bagaimana proses saringan percuma ini dapat dilakukan. Mungkin boleh mengambil insentif segera seperti pilihan terbaik yang dapat dilakukan untuk saringan COVID-19 ini dalam tempoh terdekat dan startegi yang sesuai,” ujar beliau.
#COVID-19
#insuran
#Kementerian Kesihatan
#Kementerian Luar
#keselamatan
#kesihatan
#koronavirus
#Polis Diraja Malaysia
#saringan percuma
#syarikat insurans