Syarikat di bawah KPPK perlu patuhi SOP keselamatan COVID-19 - Willie Mongin

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 23, 2021 21:48 MYT
Willie (dua, kanan) beramah mesra bersama para pekerja kilang ketika melawat kilang East Asia Palm Products (EAPP) Sdn Bhd hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Pemantauan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana syarikat di bawah Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalan Menterinya Datuk Willie Mongin berkata, garis panduan keselamatan iaitu mewajibkan pekerja asing untuk melakukan saringan COVID-19 adalah satu keutamaan.
"Kementerian melalui perladangan minyak sawit ingin mengingatkan kepada semua pemegang lesen MPOB supaya mematuhi arahan itu dan memastikan pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum 28 Februari ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan SOP di East Asia Palm Product Sdn Bhd di Kuching pada Selasa.
Mengulas mengenai kebergantungan kepada pekerja warga asing, kata Willie ia harus dikurangkan bagi memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan.
Katanya, penggiat industri juga perlu memainkan peranan penting dan positif dalam melaksanakan tranformasi pengurusan syarikat ke arah teknologi baharu.
"Kebergantungan kepada pekerja asing boleh memberi kesan jangka panjang iaitu kerugian.
"Ini kerana anak-anak tempatan mampu membantu negara kita untuk bekerja di sektor ini dan semua pemain industri bersedia melakukan transformasi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)," jelasnya.
Dalam tinjauan di syarikat perladangan itu, beliau melakukan pemantauan melibatkan langkah pencegahan COVID-19 di peringkat kakitangan, pengurusan produk dan pengenalan pelan strategi, serta Program Respons Kecemasan COVID-19.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum ini menggalakkan setiap syarikat perkilangan dan perladangan untuk membentangkan pelan strategi penguatkuasaan langkah pengcegahan COVID-19 secara menyeluruh.
#SOP COVID-19 #SOP keselamatan #Willie Mongin #syarikat perladangan #MKN #COVID-19 #Perladangan Minyak Sawit
;