Syarikat China lancar janaan dalam bahasa Melayu perkukuh AI di Asia Tenggara

Khalis Khadir
September 4, 2024 09:30 MYT
Alto AI turut bekerjasama dengan inovator terkemuka dalam bidang AI dari China, Zhipu AI dan berkolaborasi dengan Universiti Malaya.
KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan infrastruktur, Alto AI menjalinkan kerjasama untuk melancarkan janaan Model Bahasa Besar (LLM) yang pertama dalam Bahasa Melayu bertujuan menjadikan kecerdasan buatan (AI) lebih inklusif di negara ini.
Pengarah Eksekutif Alto AI, Sylvester Wong Hsiang Hui turut mengumumkan rancangan untuk melancarkan satu lagi perkhidmatan iaitu AI inovatif yang dijangka memberi impak besar di Asia Tenggara.
"Model yang diperkenal ini pastinya membantu perniagaan dalam meningkatkan interaksi dengan pelanggan, automasi penciptaan kandungan dan pembangunan aplikasi pintar yang cakna terhadap budaya dan bahasa tempatan," katanya ketika berucap, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, pemilihan model berkenaan melihat kepada rantau Asia Tenggara yang terkenal dengan kepelbagaian linguistik terutama Bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa perantaraan yang cukup penting di seluruh dunia.
Dalam masa sama beliau tidak menafikan terdapat segelintir janaan AI yang sering menghadapi kesukaran memahami berita dan konteks dalam pelbagai bahasa.
Sehubungan itu, beliau berharap model yang diperkenalkan tersebut mampu mengatasi cabaran berkenaan selain memudahkan pengguna dalam bidang yang lain kerana ia bukan terhad kepada pemahaman bahasa semata-mata.
Bagi memastikan hala tuju mereka bergerak lebih jauh, mereka bekerjasama dengan inovator terkemuka dalam bidang AI dari China, Zhipu AI dan kolaborasi dengan Universiti Malaya yang dilihat bakal memanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai bidang mengikut pengkhususan di institusi berkenaan.
Jalinan dengan Universiti Malaya itu juga secara tidak langsung dapat diterjemahkan melalui persediaan kelas AI apabila ia membantu pengurusan pembelajaran dengan lebih tersusun seperti menawarkan pusingan soal jawab menerusi penyediaan jawapan pantas.
Teknologi lain termasuk menganalisa sebarang kandungan dengan lebih mendalam selain ia berupaya sebagai kamus pintar yang dapat menjimatkan masa pengguna dan tenaga pengajar bagi menghasilkan sebuah kajian yang berinovatif.
Buat masa ini, sistem berkenaan masih dalam proses pembangunan khususnya melibatkan pengisian data dengan pelancarannya secara rasmi dijangka pada penghujung November nanti.
Rentetan itu, beliau berharap kesemua tawaran berkenaan mampu diperluaskan kepada pelbagai agensi dan institusi lain termasuk kepada sektor perbankan kerana ia juga berupaya mengendalikan konsultansi pelanggan dengan cekap sekali gus dapat mengurangkan sebarang risiko kerugian.
#Kecerdasan buatan AI #Asia Tenggara #Bahasa Melayu #universiti malaya
;