Syarikat bekal ‘ham & cheese sandwich’, pengarah mengaku tidak bersalah guna logo halal palsu
Faida Rahim
Januari 24, 2025 14:00 MYT
Januari 24, 2025 14:00 MYT
PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembekal pastri dan pengarahnya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd dan pengarahnya, Ewe Sarn Yeun, mengaku tidak bersalah masing-masing atas tujuh pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagangan tanpa kelulusan pada 366 unit sandwic pelbagai perisa.
- Mereka didakwa mengikut Perenggan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 bagi syarikat dan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi pengarah syarikat.
- Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM130,000 bagi kesemua pertuduhan dengan tiga orang penjamin warganegara Malaysia, serta syarat tambahan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mereka didakwa masing-masing atas tujuh pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagangan tanpa kelulusan, pada 366 unit sandwic pelbagai perisa, dua minggu lalu.
Ewe Sarn Yeun, 65, yang turut mewakili syarikat Shake And Bake Cafe Sdn Bhd, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, Sarn Yeun dan syarikatnya didakwa menawar untuk membekalkan sebanyak 74 unit ‘Egg Mayo Sandwich’, 66 unit ‘Ham & Cheese Sandwich’, 56 unit ‘Chili Crabstick Sandwich’, 50 unit ‘Mixed Tuna Sandwich’, 43 unit ‘Mixed Potato Sandwich’, dan 77 unit ‘Mixed Chicken Sandwich’.
Kesemua unit produk makanan tersebut diperihalkan menggunakan logo "Halal Malaysia" untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd di Sunway Damansara, Petaling Jaya sekitar jam 12.50 tengahari pada 10 Januari lalu.
Pengarah dan syarikat itu didakwa mengikut Perenggan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum mengikut Perenggan 8(A) bagi syarikat terbabit dan Perenggan 8 (B) Perintah yang sama, bagi pengarah syarikat itu.
Perenggan 8(A) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000, manakala Perenggan 8(B) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Sam Yeun dan syarikatnya itu masing-masing didakwa atas satu pertuduhan melekatkan logo Halal Malaysia yang merupakan cap dagangan berdaftar pada bungkusan produk dengan salah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM130,000 untuk semua pertuduhan.
Beliau turut mencadangkan agar tertuduh menyerahkan passport antarabangsa kepada Mahkamah dan melaporkan diri di KPDN Putrajaya setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan.
Turut mengendalikan pendakwaan bersama, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Izani.
Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Hamdan Hamzah memohon agar jaminan ditetapkan pada kadar RM120,000 bagi semua pertuduhan.
Ini kerana anak guamnya yang mempunyai taraf Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat (AS) memberi kerjasama penuh kepada pihak KPDN sepanjang siasatan serta memiliki reputasi yang baik.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Dr Syahliza dan Noor Ruzilawati membenarkan jaminan sejumlah RM130,000 bagi kesemua pertuduhan itu dengan tiga orang penjamin warganegara Malaysia selain menetapkan syarat tambahan, menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung penjualan produk 'ham and cheese sandwich' yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di universiti awam pada 13 Januari lalu.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan bahawa produk sandwic ‘ham & cheese’ bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Kedua-dua Mahkamah menetapkan tarikh 5 Mac bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.