Syarikat barang kemas Lubnan saman semula Rosmah RM67.5 juta
Fareez Azman
April 17, 2023 16:10 MYT
April 17, 2023 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah firma barang kemas Lubnan Global Royalty Trading dari Beirut, Lubnan memfailkan saman AS$14.57 juta atau RM67.46 juta terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana didakwa melanggar kontrak ke atas 43 barang kemas yang hilang.
Firma itu menerusi satu tuntutan memaklumkan telah menghantar barang kemas berkenaan kepada Rosmah pada Februari 2018, tetapi barangan kemas terbabit bukan antara barangan yang dirampas dalam serbuan polis pada Mei 2018.
Global Royalty memfailkan semula saman itu pada 27 Mac lalu di bahagian komersial Mahkamah Tinggi melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.
Pengurusan kes pertama perkara itu dijadualkan pada Isnin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rini Triany Muhamad Ali.
Firma terbabit sebelum ini memfailkan saman terhadap Rosmah pada 26 Jun 2018 di Mahkamah Tinggi tetapi menarik balik pada Oktober 2019.
Ia berikutan tindakan kerajaan melucut hak barangan berharga dan wang tunai dalam serbuan di rumah Rosmah di Pavilion dan Jalan Duta di ibu negara.
Daripada 12,000 barang kemas yang dirampas dalam serbuan oleh polis, Global Royalty telah memeriksa dan hanya menemui seutas gelang berlian bernilai lebih AS$220,000, manakala 43 item yang lain masih hilang dan tidak dapat dikira.
Kerajaan kemudiannya gagal melucuthakkan hampir 12,000 barang kemas di Mahkamah Tinggi dna meminta barang-barang terbabit dikembalikan kepada Rosmah.
Justeru itu, Global Royalty memohon pemulangan 43 barangan daripada Rosmah dalam keadaan baik dari tarikh penghakiman atau atas apa jua sebab ia tidak dapat diperolehi olehnya.
Kemudian kos barang kemas tersebut dalam jumlah RM67.46 juta dituntut pada kadar disediakan Maybank pada 1 Mac 2023 bersamaan faedah dan relif lain oleh mahkamah.
43 barangan itu termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang, tiada, kalung dan loket kusyen.
Mengikut penyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota kiriman mengakui menerima barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.
Plaintif memaklumkan telah membuat beberapa panggilan telefon kepada defendan dan memintanya untuk mengembalikan barang kemas.
Namun defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat bahawa barang kemas yang dikirim kepadanya tiada dalam miliknya tetapi sebenarnya disita pihak berkuasa.
Bagaimanapun beberapa kali plaintif meminta defendan memulangkan barang kemas terbabit, defendan masih gagal, abai dan enggan memulangkannya.
Susulan itu, firma tersebut mendakwa Rosmah telah melanggar Akta Kontrak dengan gagal memulangkan 43 item tersebut dan firma itu berhak menganggapnya sebagai pelanggaran serius terhadap kontrak.
Global Royalty seterusnya mendakwa berikutan risiko kerugian, seperti yang ditetapkan dalam nota konsainan, Rosmah kini bertanggungjawab membayar firma jumlah harga baki 43 barang kemas milik firma itu berjumlah RM67.46 juta.