Syarikat ambil lebih banyak graduan baharu dalam tempoh dua tahun - Kajian

Bernama
Disember 28, 2020 05:47 MYT
Lebih banyak siswazah yang baru menamatkan pengajian akan diambil bekerja oleh syarikat dan organisasi dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut satu kajian. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lebih banyak siswazah yang baru menamatkan pengajian akan diambil bekerja oleh syarikat dan organisasi dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut satu kajian.
Menurut syarikat pengambilan siswazah, penyelidikan pasaran dan penjenamaan majikan, Talentbank, tinjauan yang dilakukan terhadap 196 organisasi di Malaysia mendapati 73.41 peratus responden memberitahu mereka berhasrat mengambil pekerja dalam kalangan siswazah baharu, tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ben Ho berkata 21.97 peratus responden tidak pasti mengenainya, manakala 4.62 peratus tidak berminat, sementara 76.3 peratus responden optimis akan mengambil lulusan baharu pada tahun 2022.
"Hasil kajian yang dilakukan pada Oktober itu merupakan berita baik untuk sektor pekerjaan di Malaysia yang berhadapan dengan ketidaktentuan disebabkan wabak COVID-19 ketika ini, yang menyaksikan banyak syarikat terpaksa menurunkan kos operasi dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja dalam menghadapi krisis ini.
"Ini juga bermakna universiti swasta dan awam di Malaysia menghasilkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri," katanya dalam satu kenyataan.
Ho berkata kebanyakan responden kajian itu terdiri daripada mereka yang berada di kedudukan kanan dalam syarikat sederhana dan besar, yang mewakili 80.35 peratus daripada semua responden, dengan 33.53 peratus daripadanya adalah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Kajian itu turut mendedahkan prospek pekerjaan yang cerah bagi graduan baharu adalah dalam bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, pemasaran, pengkomputeran dan teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan elektronik, komunikasi massa, perbankan serta ekonomi.
Gaji bulanan yang ditawarkan kepada graduan baharu dalam semua bidang adalah dalam lingkungan antara RM2,501 dan RM3,000, manakala elaun praktikal kira-kira RM1,000 sebulan.
Ho berkata kajian juga mendapati 91.91 peratus responden memilih sikap bakal pekerja yang baik berbanding keputusan akademik, sementara 8.09 peratus menekankan keputusan akademik berbanding sikap yang baik.
"Hasil kajian menunjukkan permintaan yang meningkat untuk graduan serba boleh, yang dapat mempelajari kemahiran baharu dan mampu memikul tanggungjawab baharu yang diberikan kepada mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #COVID-19 #Malaysia #ekonomi #operasi #siswazah baharu #TALENTBANK
;