Syarat wajib lulus Sejarah bukan untuk membebankan pelajar
Bernama
November 6, 2013 11:08 MYT
November 6, 2013 11:08 MYT
Langkah kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini bukan untuk membebankan pelajar, sebaliknya bertujuan
meningkatkan pengetahuan mereka mengenai sejarah negara.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata ia sebagai usaha untuk mendidik pelajar menjadi warganegara yang baik.
“Bukan niat kita untuk tidak meluluskan mereka, kita memang berniat meluluskan mereka tetapi setidak-tidaknya biarlah mereka tahu asas sejarah negara.
“Kita lihat apabila ia (mata pelajaran Sejarah) tidak diwajibkan, ramai menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran tidak penting dan langsung tidak ingin mengetahui sejarah negara, langsung tidak tahu apa yang jadi zaman dahulu, dan tidak hargai keadaan masa kini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi lawatan hari pertama peperiksaan SPM yang bermula hari ini hingga 5 Disember di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah.
Pada 2010, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM mulai 2013.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.
Idris berkata seramai 470,395 calon seluruh negara menduduki SPM tahun ini dengan bilangan pusat peperiksaan sebanyak 3,616 dan 139 kertas peperiksaan.
Katanya, 30,863 kakitangan dan 24,332 pemeriksa kertas turut ditugaskan dalam peperiksaan itu.
Menjawab mengenai syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris mulai tahun 2016, Idris berkata pelbagai persediaan telah dijalankan untuk memudahkan pelajar dan guru termasuk memberi latihan dan bahan pembelajaran yang diperlukan.