Syarat tambahan lesen memandu kepada warga emas? Kerajaan tidak akan terburu-buru - Anthony

Umavathi Ramayah
November 25, 2024 23:09 MYT
Anthony semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) pada Isnin.. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam meletakkan syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu kepada warga emas.
Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia memerlukan penelitian secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Kita menerima baik cadangan laporan tersebut, tetapi ia perlu diteliti lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan.
"Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan
"Jadi, apa-apa syarat tambahan ini kita sentiasa berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi negatif apabila ada sesuatu syarat baharu dikenakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, pada Isnin.
Sebelum ini ada ada cadangan yang mengesyorkan warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu, perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.
Ia adalah susulan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.
Dalam perkembangan berasingan, Anthony Loke berkata, satu tapak di Nilai, Negeri Sembilan akan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat logistik negara.
"Jadi memang Kerajaan Negeri Sembilan juga menyambut baik dan mereka sedang mengenal pasti tanah tersebut," ujarnya.
#Anthony Loke #lesen memandu #warga emas #syarat tambahan
;