Syarat ketat, usaha perluas insurans perlindungan Kampungku terpaksa ditangguh
Astro Awani
Januari 2, 2018 04:00 MYT
Januari 2, 2018 04:00 MYT
Usaha memperluas insurans bencana perlindungan banjir Kampungku yang diperkenalkan di Kemaman ke seluruh negara terpaksa ditangguhkan berikutan tindakan syarikat insurans menetapkan syarat ketat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan akan terus berunding untuk mencapai kata sepakat bagi memastikan mangsa banjir di negara ini mendapat pelindungan sewajarnya.
Menurutnya caruman insurans yang dicadangkan kerajaan menumpukan kepada kawasan berisiko demi kepentingan mangsa banjir.
Manakala katanya, syarikat insurans menetapkan beberapa syarat dengan kuota antara 50 hingga 100,000 pencarum.
"Mereka hanya bayar RM10... yang lain akan ditanggung oleh kerajaan kira-kira RM67. Kerajaan akan tanggung semua tetapi kita tidak dapat kerana syarat ketat syarikat insurans," katanya.
Beliau ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara Banjir di Pasir Raja, Hulu Dungun pada Selasa.
Tambah Shahidan, selain usaha memberi perlindungan insurans, kerajaan turut menyediakan bayaran wang ehsan kepada mangsa banjir dalam kadar segera.
Selain itu kata beliau, bantuan akan teris diperkasa bukan sahaja sebelum dan ketika bencana malah membabitkan tempoh pasca banjir melalui peranan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi penguat kuasa.