Syarat ketat pemilikan senjata api

Umavathi Ramayah
Disember 3, 2020 11:04 MYT
Hamzah berkata setiap permohonan untuk mendapatkan lesen atau permit senjata perlu melalui tapisan yang rapi oleh PDRM. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan sahaja akan diluluskan pemilikan lesen dan permit senjata api.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kelulusan senjata api, sama ada pistol atau senapang patah, secara beli baharu atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana senjata api adalah peralatan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, permohonan memiliki senjata api adalah tertakluk kepada Akta Senjata 1960.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap permohonan lesen atau permit senjata api.
"Justeru setiap permohonan untuk mendapatkan lesen atau permit senjata perlu melalui tapisan yang rapi oleh PDRM.
"Bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau yang tidak dipertimbangkan lesen atau permit senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, saya mencadangkan supaya mereka mendapatkan bantuan Jabatan Perhilitan atau anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) setempat untuk membantu mengatasi masalah ancaman tersebut," katanya di Parlimen, di sini, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang menyatakan sama ada KDN akan memberi kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata untuk permohonan senjata api bagi tujuan membasmi musuh tanaman, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat.
Antaranya, kata beliau, melepasi tapisan keselamatan, memiliki tahap kesihatan yang baik, bergantung hidup kepada hasil pertanian, mempunyai tanah pertanian sendiri, menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil tanaman yang serius.
#Kementerian Dalam Negeri #Hamzah Zainudin #Parlimen #Dewan Rakyat #pemilikan senjata api #Akta Senjata 1960 #Polis Diraja Malaysia #pemilik kebun #Jabatan Perhilitan #Jabatan Sukarelawan Malaysia
;