"Syarat ketat kempen pemilihan UMNO bukan masalah saya" -- Megat Najmuddin
Wan Syamsul Amly
Oktober 2, 2013 08:54 MYT
Oktober 2, 2013 08:54 MYT
Calon-calon yang berdepan kesulitan untuk berkempen menjelang pemilihan UMNO tidak lama lagi diharap tidak menyalahkan Lembaga Disiplin kerana garis panduan kempen itu bukan disusun oleh badan berkenaan.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, pihaknya hanya bertanggungjawab memastikan tiada mana-mana calon yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya bukan Lembaga Disiplin buat semua peraturan tetapi ia diputuskan oleh pucuk pimpinan sendiri yang mana Majlis Tertinggi turut terlibat dalam pindaan ini.
“Tugas kita hanya menjalankan kerja dan kita menguatkuasakan kod etika yang telah dibuat. Ini hal pucuk pimpinan. Jangan tanya saya etika itu ketat atau tidak. Ini bukan masalah saya,'' katanya dalam satu wawancara dengan Astro AWANI.
Jelas beliau, ahli UMNO perlu faham bahawa setiap peraturan yang dibuat merupakan keputusan yang dicapai hasil perbincangan kepimpinan tertinggi parti sendiri.
“Seperti pepatah rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Isu ini sudah lama selesai dan sengaja dibangkitkan akhir-akhir ini.
“Semua ahli dan calon juga sudah faham peraturan yang dipinda dan suka saya ingatkan sekali lagi, apa juga kesulitan dihadapi calon dalam tempoh ini bukan masalah saya,'' katanya.
Di bawah syarat yang ditetapkan itu, setiap ahli yang bertanding bagi jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan pusat harus menjadikan tata etika ahli UMNO sebagai panduan kempen.
Ini termasuk tidak mengggunakan mana-mana penerbitan atau media massa untuk berkempen dan tidak menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu.
Peraturan itu bagaimanapun kemudian dilonggarkan apabila jawatankuasa pemilihan memberikan kebenaran kepada calon-calon yang bertanding untuk berkempen melalui media sosial seperti Facebook untuk memperkenalkan diri.
Ditanya mengenai tugas lembaga disiplin sendiri dalam memastikan peraturan dan syarat itu dikuatkuasakan, Megat Najmuddin berkata, pihaknya ada pasukan pemantau yang dikerahkan ke seluruh negara.
“Tiap-tiap bahagian kita ada pemantau dan mereka yang memberikan laporan salah laku atau mereka akan mencari bukti,'' ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua calon akan dikenakan tindakan disiplin jika didapati bersalah melanggar etika.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian akan diadakan serentak pada 12 Oktober.
Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat bahagian dan jawatan Majlis Tertinggi pula dijadual diadakan serentak pada 19 Oktober.