Syarat, had skim pinjaman rumah pekerja ladang dikaji semula
Bernama
Oktober 25, 2023 13:40 MYT
Oktober 25, 2023 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sedang mengkaji semula syarat dan had pinjaman Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) bagi membolehkan lebih ramai pekerja ladang layak memohon kemudahan itu.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mustapha Sakmud berkata skim pembiayaan dengan dana pusingan berjumlah RM50 juta itu diperkenalkan sejak Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan masih diteruskan sehingga kini, namun kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekerja ladang.
Beliau berkata sehingga 31 Ogos lepas, hanya 319 pekerja ladang menyertai skim pembiayaan itu dengan nilai pembiayaan RM26.4 juta.
"Beberapa punca atau kekangan dikenal pasti menjadi penyebab pekerja ladang kurang menyertai skim ini adalah kekurangan tawaran perumahan kos rendah dan lokasi projek perumahan yang jauh dari tempat kerja mereka.
"Selain itu, kekangan dari segi keupayaan kewangan pekerja ladang juga tidak membolehkan permohonan mereka diluluskan," katanya menjawab soalan tambahan Rodiah Ismail (PH-Ampang) berhubung sambutan golongan sasaran terhadap skim berkenaan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapha berkata skim itu menawarkan pembiayaan perumahan dengan kadar faedah tetap yang sangat rendah iaitu dua peratus berbanding ditawarkan bank komersial dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 35 tahun.
Selain itu, katanya skim tersebut membenarkan pembiayaan sehingga generasi kedua selain membeli hartanah baharu, pembelian rumah daripada pembeli terdahulu dan pembinaan rumah sendiri.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung usaha kerajaan menarik minat belia tempatan dalam sektor perladangan, Mustapha berkata KSM sebelum ini pernah mencadangkan untuk memperkenalkan waktu kerja fleksibel bagi pekerja ladang.
"Cadangan ini sedang dikaji di peringkat praktikal oleh agensi dan pihak terlibat. Kita harap penambahbaikan yang dibuat, kita dapat menarik minat golongan belia sekali gus mengurangkan kebergantungan buruh asing," katanya.
-- BERNAMA