Syabu, ekstasi RM2.67 juta dirampas di Johor

Astro Awani
Jun 1, 2020 17:30 MYT
Rampasan itu dipercayai yang terbesar di negeri Johor setakat tahun ini. - Foto Astro AWANI
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM2.67 juta di perairan Muar berdekatan Parit Samsu, jam 2.10 pagi pada Isnin.
Rampasan itu dipercayai yang terbesar di negeri Johor setakat tahun ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata ketika pemantauan Op Benteng dibuat, pihaknya terserempak dua lelaki menaiki bot fiber berdekatan muara hutan bakau.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki bertindak melarikan diri menggunakan bot dan mencampakkan dua guni yang mengandungi bungkusan pelbagai dadah.
"Menyedari kehadiran kami, mereka mencampakkan guni itu ke hutan bakau yang berhampiran dan melarikan diri. Kita percaya sindiket ini ada kaitan dengan tangkapan dadah sebelum ini yang kita jumpa, dekat kawasan Parit Jamil, Muar," katanya pada sidang media di pejabat APPM negeri Johor,di sini hari ini.
Jelas Sanifah lagi, pemeriksaan lanjut mendapati guni pertama mengandungi, 24 bungkusan hitam serbuk putih disyaki syabu seberat 24 kilogram.
Manakala guni kedua mengandungi lapan bungkusan hitam disyaki pil ekstasi seberat 14.7 kilogram.
Kesemua dadah itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
Sanifah berkata bot fiber sering digunakan sindiket kerana ianya mudah untuk bergerak di perairan cetek berbanding bot besar lain.
Pihaknya akan mempergiatkan penguatkuasaan di beberapa ‘kawasan panas’ sepanjang perairan Pontian, Batu Pahat dan Muar bagi terus membenteras sindiket penyeludupan dadah.
#Batu Pahat #Dadah #ekstasi #Muar #sindiket #Syabu
;