SYABAS nafi tuduhan Khalid ia gagal sediakan pelan pengagihan air

Harris Hardy Hakim
Februari 25, 2014 06:27 MYT
V. Subramaniam - Foto SYABAS
Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS menafikan tuduhan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendakwa syarikat itu gagal menyediakan Pelan Pengagihan Air Berjadual.
Pengarah Eksekutif, Pembangunan Teknikal SYABAS Ir. V. Subramaniam menegaskan pelan berkenaan telah pun dibentangkan pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor, MTES pada 18 Februari lepas.
Menurut Subramaniam, pelan catuan bekalan air itu dibuat ekoran penutupan loji rawatan air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi.
2 loji berkenaan ditutup berikutan pencemaran ammonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.
"Lanjutan dari itu, kerajaan negeri Selangor telah memajukan permohonan cadangan Pelan Pengagihan Air Berjadual tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN pada 21 Februari." katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, semalam pihak SPAN telah meluluskan pelan Pengagihan Air Berjadual yang melibatkan 60,185 akaun pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Tempoh catuan dijangka akan berlarutan selama sebulan bermula pada Khamis, 27 Februari hingga Isnin, 31 Mac 2014.
Jadual pengagihan air dibuat berdasarkan konsep pembekalan air, dua hari dapat air dan dua hari tiada air.
Pada hari yang dijadualkan tiada bekalan air, SYABAS tidak akan menyediakan lori tangki atau tangki air statik kecuali bagi pengguna kritikal atau situasi yang sangat memerlukan seperti upacara kematian, kenduri, untuk kegunaan hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan.
Manakala pada hari yang dijadual ada bekalan air, lori tangki akan dihantar bagi membantu kawasan yang mempunyai masalah pengagihan akibat tekanan rendah dan sebagainya.
Perkhidmatan lori tangki bagaimanapun hanya akan disediakan atas permintaan.
Sementara itu, SYABAS turut membantah cadangan Kerajaan Negeri Selangor agar pengurangan bekalan air berskala besar dilaksanakan di negeri itu.
Subraniam menegaskan pihaknya bukan sahaja tidak boleh melaksanakan arahan tersebut tanpa kelulusan SPAN malah ia akan menjejaskan 750,000 kediaman atau lebih 3 juta pengguna.
"Cadangan kerajaan negeri Selangor itu tidak mengambil kira kawasan-kawasan pengguna yang sensitif seperti hospital, pusat dialisis, pejabat pentadbiran kerajaan, premis perniagaan dan kilang-kilang yang perlu perhatian semua.
"Tambahan lagi, SYABAS hanya diberikan selama 2 hari oleh kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan pelan pengagihan air berjadual bagi kawasan yang terlibat berskala besar ini walaupun cadangan tersebut masih belum mendapat kelulusan SPAN." tegas Subramaniam.
Semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim antara lain mengumumkan cadangan untuk mengurangkan perlepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 600 juta liter sehari, JLH dan pengurangan air terawat sebanyak 500 JLH dari lima loji rawatan air yang terlibat.
"Adalah tidak wajar bagi Menteri Besar Selangor selaku ketuakKerajaan negeri Selangor tidak memaklumkan kesan dari cadangannya untuk mengurangkan bekalan air sebanyak 500 JLH dari kelima-lima loji rawatan air berkenaan supaya pengguna dan rakyat semua rakyat tahu apa yang mereka akan tempuhi apabila catuan dilakukan sedangkan sebelum ini beliau bersungguh-sungguh menyatakan bekalan air cukup untuk pengguna dan rakyat negeri Selangor."
Subramaniam juga kesal atas keengganan kerajaan negeri Selangor melaksanakan projek dan cadangan pembangunan dan penambahbaikan air yang dikemukakan oleh SYABAS sejak 2008 bagi mengatasi krisis kekurangan bekalan air.
#air #catuan #SYABAS #V. Subramaniam