SYABAS: Gangguan bekalan air sementara pada 2 Julai
Astro Awani
Jun 27, 2013 12:32 MYT
Jun 27, 2013 12:32 MYT
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata bahawa beberapa kawasan di wilayah Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada 2 Julai 2013 (Selasa), akibat kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak kontraktor SYABAS.
Antara kerja-kerja yang dijalankan termasuk, kerja-kerja penyambungan paip 600mm diameter ke paip sedia ada SYABAS 600mm diameter dan kerja-kerja pemasangan injap kupu-kupu 1000mm diameter di Kampung Teluk Penyamun bagi Cadangan Meningkatkan Kapasiti Bekalan Air ke Kuala Selangor.
Gangguan bekalan air tersebut, yang melibatkan 7,241 akaun, akan bermula pada 2 Julai 9 malam hingga 5 pagi keesokan harinya 3 Julai.
"Para pengguna dinasihatkan agar menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut," kata Priscilla Alfred, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam dalam kenyataan media hari ini.