SYABAS diarah untuk aktifkan pelan kecemasan dan pengagihan air berjadual

Aizat Sharif
Februari 21, 2014 18:32 MYT
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diarah untuk mengaktifkan pelan kecemasan dan pengagihan air berjadual kepada pengguna terjejas.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan Selangor memandang serius gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan beberapa kawasan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlaku sejak kebelakangan ini.
“Beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat yang melibatkan kira-kira 27,000 rumah terputus bekalan air kerana Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup semenjak 28 Januari lalu disebabkan pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media yang diemelkan kepada Astro Awani.
Malah, beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang melibatkan kira-kira 75,000 rumah juga terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak kebelangan ini disebabkan pertambahan permintaan air yang mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan .
“Kita telah mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk mengagihkan air berjadual kepada pengguna di mana SYABAS akan memaklumkan butiran terperinci pelan pengagihan berjadual dalam waktu terdekat ini,” .
Pengagihan air berjadual ini akan diteruskan sehingga 31 Mac sekiranya bekalan air terputus dan tekanan air rendah masih berlaku.
“Kita juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas di samping memastikan lif-lif rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) berfungsi bagi memudahkan penduduk mengangkut air,” katanya lagi.
Selain itu, kita meminta pihak Konsortium ABBAS Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk yang terlibat.
Namun begitu, kemampuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pengguna pada waktu yang sama.
Pengguna juga digesa untuk berjimat cermat dan mengelak sebarang pembaziran supaya lebih ramai pengguna mendapat bantuan air kecemasan ini.
#pelan kecemasan #pengagihan air #SYABAS
;