Syabas anak tempatan bangunkan kereta perisai bertaraf dunia

Ridauddin Daud
Februari 11, 2021 21:48 MYT
Dilengkapi sistem persenjataan moden, HMAV4x4 ini turut memiliki Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Tidak dapat dinafikan, rakyat Malaysia hebat-hebat belaka.
Bidang sukan, penyelidikan, kesihatan, teknologi, semua diteroka dan kini nama Malaysia gah di mata dunia.
Tidak lama lagi, nama negara kita akan terus mekar selepas anak tempatan membuktikan mereka mampu menghasilkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi bertaraf antarabangsa.
Mungkin ada benarnya mutiara kata yang berbunyi ... perjalanan seribu langkah bermula dengan langkah pertama.
Mungkin itu ungkapan paling sesuai bagi menyimpulkan usaha Mildef International Technologies yang mamasang impian memasuki pasaran antarabangsa dengan rekaan mereka.
Impian mereka bukanlah angan-angat Mat Jenin semata-mata, kereta berperisai MILDEF HMAV4x4 menepati piawaian antarabangsa.
Teknologi, ciri keselamatan, ruang untuk senjata termasuk untuk grenade launcher, semuanya ada pada kenderaan ini.
Ketua Juruteranya, Khairul Hazwan Mohd Rasit berkata, bukan saja kualitinya setara dengan produk luar negara, boleh dimasukkan pelbagai senjata malah harganya juga lebih kompetitif.
“Kenderaan ini kita boleh pasang mana-mana senjata atau sistem persenjataan yang ada di luar sebab kita ‘customise’ sendiri semua barang.
“Apa-apa senjata termasuk anti aircraft, kita boleh pasang, tiada masalah untuk kenderaan ini. Pada dasarnya, ia mengikut keperluan dari pelanggan, ikut senjata apa yang mereka mahu,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Kereta Perisai | Anak tempatan bangunkan kereta perisai taraf dunia
Dilengkapi sistem persenjataan moden, HMAV4x4 ini turut memiliki Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.
Nisbah kuasa berat untuk kenderaan ini ialah 24 kuasa kuda/tan dan ia turut dilengkapi sistem hidraulik serta pintu tanjakan di belakang kenderaan.
Menariknya, HMAV4x4 mampu bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi malah boleh mencapai kelajuan 110 kilometer sejam.
“Kita boleh katakan ia 100 peratus buatan tempatan, anak Malaysia. Tujuan kita bangunkan kenderaan ini adalah untuk membantu aset pertahanan negara, memantapkan pertahanan negara untuk masa akan datang.
"Dengan produk kereta berperisai hasil anak tempatan ini, kita akan tingkatkan lagi pertahanan negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa.
Menurutnya, produk itu direka, dibina dan dipasang di Malaysia, kini sudah mula mendapat pertanyaan daripada negara luar termasuk dari Timur Tengah.
Menggunakan kepakaran kira-kira 140 tenaga tempatan, Mohd Nizam berkata HMAV4x4 adalah bukti kepakaran dan kemahiran rakyat Malaysia setanding negara luar.
“Ini boleh dikatakan satu kebanggaan buat Malaysia kerana kita boleh katakan kita mencipta sejarah pada ketika ini.
“Satu syarikat di Malaysia, kita bangunkan produk tempatan. Setakat ini belum ada kenderaan seperti ini yang dibina 100 peratus hasil anak tempatan. Ini satu kebanggaan kepada kita,” katanya.
Sejujurnya, apabila melihat depan mata kereta perisai ini, perasaan bangga pantas muncul kerana tidak menyangka kenderaan secanggih itu adalah “100% Made in Malaysia”.
#perisai #kereta #MILDEF #kenderaan #pertahanan #negara #ATM #kesihatan #sukan #rakyat #keselamatan #rakyat Malaysia #Malaysia
;