'Syabas anak muda', Menteri Agama puji Khairul Aming, Sofyank

Sinar Harian
Mei 26, 2024 14:00 MYT
Hantaran poster dimuat naik Mohd Na'im di Facebook pada Ahad.
SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memuji usaha murni personaliti media sosial, Khairul Aming dan pereka kandungan digital, Sofyank yang menghasilkan video kesedaran mengenai Palestin.
Beliau berkata, kolaborasi dua anak muda itu yang memberikan penerangan tentang situasi terdahulu dan semasa dialami rakyat Palestin amat mudah difahami setiap lapisan masyarakat.
"Syabas anak muda, ini contoh yang baik.
"Saya amat teruja dan terkesan dengan video terbaharu hasil kolaborasi Khairul Aming serta Sofyank berkisar tentang Palestin, ‘Eyes on Rafah’.
"Difahamkan video ini mendapat tontonan lebih 2.1 juta dalam masa satu hari dan hampir 57,000 perkongsian.
"Pencapaian luar biasa, tahniah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Terdahulu, dua pempengaruh media sosial tersebut mencuri tumpuan masyarakat apabila menghasilkan video infografik tentang sejarah kekejaman Israel terhadap Palestin bermula daripada Peristiwa Nakba 1948, kejadian 7 Oktober tahun lalu hingga keadaan sebenar di Rafah dan Jabalia ketika ini.
Video berkenaan yang dimuat naik pada 23 Mei lepas sudah mencapai 50 juta tontonan dan 654,000 ribu perkongsian setakat ini.
Mohd Na'im turut memaklumkan, usaha kedua-dua belia terbabit dalam menyampaikan kandungan positif dan bermanfaat wajar dicontohi orang ramai.
"Mari kita bersama-sama kongsikan video ini agar manfaatnya berterusan.
"Teruskan berkarya dan saya doakan kalian berdua terus maju dalam kerjaya masing-masing serta mencapai cita-cita yang dihajati.
"Solidariti bersama rakyat Palestin," ujar beliau.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Menteri Agama #Mohd Naim Mokhtar #Khairul Aming #Sofyank #kesedaran mengenai Palestin
;