Switch Off '14: Kebersatuan suara penggiat seni jangan dianggap sebagai protes

Hamzah Hamid
Oktober 21, 2014 18:35 MYT
Sidang media Switch Off '14 dihadiri pemimpin persatuan dan ratusan lagi penyokong kempen yang terdiri daripada penggiat seni tanah air.
Kempen Switch Off ’14 bukan digerakkan dalam acuan individu yang berkepentingan peribadi dan bukan juga berlabel ‘demonstrasi, protes atau piket’ terhadap kerajaan.
Sebaliknya, ia merupakan suara solidariti bagi keseluruhan warga kerja industri televisyen tempatan yang mahukan pembelaan seterusnya perubahan positif demi masa depan. Itulah penekanan yang disampaikan dalam sidang media kempen Switch Off ’14 hari ini di Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kuala Lumpur.
“Perkara yang kami rancang pada 11 November akan tetap dijalankan. Kita akan berkumpul beramai-ramai dalam sebuah perjumpaan aman dan harmoni untuk menunjukkan kebersatuan kami dalam perkara ini,” ujar Pengerusi kempen tersebut, Jurey Latiff Rosli.
Dalam perjumpaan yang bakal diputuskan lokasinya itu, mereka berharap agar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dapat bersama-sama hadir bagi menerima memorandum Switch Off ’14.
“Saya amat positif bahawa pada tarikh tersebut, ada perkara baik akan berlaku. Ini dapat mengikis persepsi tidak sihat yang sebelum ini ditiup segelintir pihak yang tidak memahami gagasan Switch Off ’14. Kami bukan mahu membuat kekecohan atau melawan kerajaan seperti yang dikatakan,” tegasnya.
Jurey memberitahu, ketika idea pelaksanaan kempen itu dibincang bersama persatuan-persatuan lain, mereka mendapat maklum balas yang baik dan gerak kerja kempen telah dipersetujui dan disahkan dalam mesyuarat ahli jawatan kuasa GAFIM.
“Jadi secara tidak langsung ia adalah sebahagian daripada aktiviti GAFIM dengan pihak industri. Maka, di mana asas mereka apabila mengatakan usaha kami ini tidak mendapat sokongan?” ujar Jurey.
Antara persatuan yang terlibat dalam memberi sokongan pada kempen tersebut adalah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (POSTAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (PAPITA), Persatian Penyiar Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kebajikan Penghibur India Malaysia (MIEWA), Persatuan Penulis Kreatif Malaysia (CGM) dan Pertubuhan KebajikanArtis-Artis Pelapis (PERKAP).
Jurey memberitahu, semua pihak yang terlibat dalam kempen itu mengharapkan bermula dari hari ini hinggalah pada tarikh 11 November, bakal membuka jalan perbincangan sama ada dengan pihak kementerian atau pihak stesen TV mengenai perkara teras dalam memorandum berkenaan.
Permintaan demi masa depan industri
Memorandum berkenaan merangkumi beberapa tumpuan isu khusus dalam memastikan ekosistem menyeluruh yang lebih adil dan seimbang bagi kemajuan industri TV negara.
Switch Off ’14 mahu mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif, menekankan hak IP (harta intelek) yang lebih adil dan munasabah, pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70 peratus kandungan tempatan dan penguatkuasaan polisi Made In Malaysia (MIM) dan Paducitra.
“Selain itu, Switch Off’14 juga berhasrat menubuhkan satu badan atau pusat sehenti yang mengawal selia industri TV secara langsung, melantik wakil-wakil industri yang dipersetujui oleh pemain industri dalam memainkan peranan membuat dasar serta keputusan melibatkan industri dan menyediakan slot-slot TV yang mengkhususkan kandungan berbentuk patriotik serta mendaulatkan citra budaya bangsa,” terang pengarah strategik kempen, Gibran Agi.
Kempen tersebut turut meminta agar dipertimbangkan mengenai pemberian kim pengecualian cukai bagi syarikat-syarikat korporat yang terlibat dalam penajaan penerbitan program TV tempatan dan bagi pembelian peralatan teknikal terkini serta perisian yang melibatkan industri TV.
Skim insurans khusus melibatkan warga industri dan penyediaan dana atau geran bagi memajukan kandungan industri TV negara bagi meningkatkan kemahiran pekerja juga digariskan dalam memorandum tersebut.
“Ini adalah permintaan yang membawa kebaikan kepada penggiat industri. Saya percaya antara perkara tuntutan tersebut, ada beberapa inisiatif yang sudahpun kerajaan mulakan.
“Secara ringkasnya, kita mahu penyelesaian bersama dan permasalahan ini disampaikan secara tegas, tersusun dan kolektif. Begitupun, kami memang mengelakkan sebarang cara yang bersifat konfrontasi,” ujar Gibran.
Beberapa penggiat industri termasuk pelakon yang datang memberi sokongan dalam sidang media tersebut turut menyuarakan pandangan.
Antara yang diluahkan mereka adalah tentang kesukaran bersaing dengan produksi luar, keupayaan terbatas penghasilan kandungan kreatif, soal bayaran stesen TV yang rendah dan nilainya semakin kecil apabila diagih kepada tenaga kerja, selain suasana industri yang tidak berubah malah memburuk berbanding 20 tahun lalu.
Sidang media Switch Off ’14 di KSS hari ini dihadiri kira-kira 500 penggiat seni termasuk pemimpin persatuan industri, ahli-ahli, krew produksi, dan pelakon-pelakon popular yang selama ini sering penonton saksikan di kaca TV.
Secara keseluruhan, para penyokong kempen Switch Off ‘14 mahu memberi isyarat besar tentang hakikat di sebalik salah tanggapan imej kemilau, seronok, glamor dan popular dalam kehidupan anak seni seperti mereka.
Umum perlu tahu bahawa mereka juga sering dilanda resah tentang tekanan kos sara hidup, makan pakai, perubatan, jaminan kelangsungan dan peluang pendapatan yang berbaloi dengan tenaga, bakat serta masa yang dikorbankan.
#GAFIM #industri seni #jurey #perjumpaan #Switch Off
;