SWCORP komited teruskan usaha pembersihan di kawasan terjejas banjir
Bernama
Disember 27, 2021 05:00 MYT
Disember 27, 2021 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited untuk meneruskan usaha pembersihan sampah di kawasan sekitar negeri Selangor yang terjejas dengan banjir.
Jurutera SWCorp Mohd Rohaidy Zulkifli berkata usaha yang disertai konsesi pembersihan Alam Flora itu bermula Khamis lepas dan berjaya membersihkan 400 tan sampah di kawasan Hulu Langat, memberikan satu kelegaan kepada penduduk tempatan.
"Kami akan cuba untuk selesaikan masalah sampah di sini secepat mungkin sebab jika kita lihat sampah-sampah ini dah mula naik bau dan akan mendatangkan masalah-masalah lain jika tidak diselesaikan segera seperti nyamuk, tikus dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak pelupusan sementara di Sungai Serai, Hulu Langat di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Dusun Nanding, Mukim Hulu Langat Mohd Yusof Abdul Manan berkata keadaan jalan yang sempit dan sesak di kawasan taman yang terjejas akibat banjir menyukarkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
"Waktu awal-awal tu penduduk dekat sini meletakkan sampah-sampah pukal seperti perabot yang besar di hadapan rumah, kereta juga banyak yang tak sempat diselamatkan...oleh itu banyak jalan yang tertutup dan sukar untuk pihak bertanggungjawab mengakses kawasan ini bagi melakukan kerja pembersihan.
Namun dah masuk hari yang kelapan ni saya rasa lega sikit melihat keadaan yang semakin bersih kereta-kereta yang rosak pun dah banyak dapat dikeluarkan," katanya.
Mohd Yusof berkata boleh dikatakan 50 peratus kerja pembersihan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat telah selesai tetapi masih banyak kerja pembersihan yang diperlukan terutama di kawasan belakang perumahan itu.
Ditanya mengenai Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumum kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir, beliau berkata ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk terjejas.
"Saya menyambut baik insentif dari kerajaan untuk bantu meringankan beban yang dialami mangsa-mangsa yang terjejas, dapatlah juga untuk mereka ini beli barang-barang keperluan asas yang diperlukan terlebih dahulu," katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.
-- BERNAMA