Swasta, GLC boleh main peranan bantu tingkatkan budaya membaca - Khalid Samad
Irwan Muhammad Zain
Februari 17, 2020 18:19 MYT
Februari 17, 2020 18:19 MYT
Bergelar Ibu Kota Buku Dunia selama setahun bermula 23 April ini bukanlah untuk glamor atau meletakkan Kuala Lumpur dalam peta perbukuan dan ilmu antarabangsa semata-mata.
Nilai pakej pengisytiharan ini hadir bersama senarai tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan meningkatkan kadar pembacaan rakyat Malaysia
Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengajak pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi rakan strategik kerajaan untuk meningkatkan minat membaca di peringkat nasional.
"Walaupun status WBC bersifat Kuala Lumpur, namun tanggungjawabnya bersifat negara.
"Impak KLWBC 2020 mesti mempengaruhi seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis taklimat khas kepada pihak swasat dan glc mengenai KLWBC 2020.
Menurut Khalid, akses pembacaan yang meluas terutama terhadap buku fizikal masih menjadi kekangan besar bagi banyak negara membangun.
Bagi membantu golongan B40, pihak penganjur, bercadang menerbitkan projek 100 Buku Terbaik Malaysia sempena KLWBC 2020.
"Setiap judul Buku Emas KLWBC 2020 ini akan dicetak 10,000 salinan. Melalui projek khas ini, KLWBC 2020 akan memiliki sejuta buku berkualiti untuk diedarkan kepada 1 juta isi rumah di seluruh negara. "
"Ini projek perantis yang penting. Kita harus menyedari, warga B40 bukan semata-mata memerlukan sumbangan material yang bersifat fizikal. Namun, lebih daripada itu," katanya lagi.
Jelas Khalid, Ilmu dan peradaban buku harus dijadikan usaha spiritual untuk meningkatkan kualiti minda dan sikap masyarakat kita terhadap kehidupan mereka.
Hampir 100 ribu isi rumah di Projek Perumahan Rakyat sekitar ibu kota yang perlu disantuni dengan akses perbukuan.
"Malah, dengan dana tajaan GLC dan swasta, sejuta buah buku hasil Projek 100 Buku Emas KLWBC, limpahan edarannya akan beredar ke seluruh negara.
"Projek 100 Buku Emas KLWBC akan mengutamakan judul buku yang terpilih, berkualiti dan terjamin standardnya.
"Buku-buku kanak-kanak dan remaja adalah keutamaan," katanya.
Sebagai menambah kualiti kehidupan kumpulan sasar B40, judul buku dengan pengisian panduan skil keibubapaan dan kekeluargaan akan turut dicetak dan diedarkan.