Swafoto dengan Raja Salman peluang tonjolkan sisi kemanusiaan pemerintah Arab Saudi - PM Najib
Bernama
Mac 6, 2017 21:21 MYT
Mac 6, 2017 21:21 MYT
Swafoto Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud semasa lawatan negara baginda ke Malaysia baru-baru ini adalah peluang untuk menonjolkan sisi kemanusiaan Raja Arab Saudi itu, kata perdana menteri.
Mengambil peluang merakamkan saat yang tidak dapat dilupakan semasa lawatan itu, Najib berkata beliau terperanjat dan amat gembira apabila Penjaga Dua Kota Suci itu menerima permintaannya untuk mengambil swafoto.
"Saya merakamkan swafoto itu dan sambil itu berkata kepada diri sendiri bahawa ini adalah peluang untuk menonjolkan Raja Salman dari sudut baharu kerana hakikatnya baginda seorang insan yang sangat baik.
"Saya ingin menonjolkan sisi kemanusiaan yang terdapat pada diri Raja Salman, suatu aspek yang tidak terzahir dengan jelas, lebih-lebih lagi apabila kita perlu mematuhi protokol dan perkara lain yang sudah menjadi kebiasaan kita," katanya dalam wawancara eksklusif oleh Al Arabiya News Channel bersempena lawatan bersejarah Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini.
Dalam wawancara dikendalikan Pengurus Besar Al Arabiya, Turki Aldakhil mengenai kepimpinan Raja Salman, Najib berkata beliau sebenarnya mengambil risiko apabila menyiarkan gambar itu melalui laman Twitter dan Facebook.
"Tetapi gambar 'swafoto' itu menyebabkan Malaysia dan Arab Saudi menjadi tumpuan luar biasa dan kedua-dua pihak sungguh gembira," kata Najib.
Pada waktu berita ini disiarkan, gambar yang disiarkan di laman Twitter rasmi Najib pada 27 Feb itu telah mendapat kira-kira 20,000 'retweet' dan 7,643 'like', manakala yang disiarkan di Facebook beliau telah mendapat kira-kira 26,000 respons positif dan 2,000 'share'.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan Penjaga Dua Kota Suci itu sebagai seorang pemimpin yang amat berkarisma, amat mesra dan amat prihatin.
"Baginda amat kaya dengan ilmu pengetahuan, terutama tentang sejarah serta memiliki hasrat yang amat mendalam ke arah menganjurkan kerjasama. Saya amat menghormati peranan baginda sebagai seorang pemimpin," kata perdana menteri.
-- BERNAMA