SUV terjunam dari Jambatan Pulau Pinang: Bekas pekerja salon diarah bela diri
Dewi Nur Harasha Alias
September 29, 2021 14:36 MYT
September 29, 2021 14:36 MYT
BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mengarahkan bekas pekerja salon membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.
Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh M. Vaitheswaran pada akhir kes pendakwaan hari ini.
Hakim kemudiannya menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk tertuduh yang diwakili peguam K. Paramanathan membela diri.
Paramanathan memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan tiga saksi iaitu tertuduh sendiri yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.
Turut akan dipanggil saksi awam dan seorang pakar perubatan Hospital Seberang Jaya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.
Terdahulu, Vaitheswaran hadir ke mahkamah memakai kemeja biru gelap dan kelihatan tenang semasa berada di kandang tertuduh pada prosiding hari ini.
Pada 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.