Susunan kerusi 222 Ahli Parlimen selesai - Mohamad Ariff

Bernama
Mei 15, 2020 05:48 MYT
Susunan kerusi kesemua Ahli Parlimen ditentukan selepas rundingan dibuat dengan kesemua parti politik, kata Mohamad Ariff Md Yusof. - Gambar fail
Susunan kerusi kesemua 222 Ahli Parlimen bagi sesi mesyuarat Dewan Rakyat akan datang telah selesai, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Beliau berkata, susunan itu ditentukan selepas rundingan dibuat dengan kesemua parti politik.
"Ya ya setakat kita diberi maklum, susunan pun selesai, tetapi kita takkan keluarkan (susunan kerusi) sampai Isnin ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri raptai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijadual berangkat menyempurnakan pembukaan sidang itu Isnin ini.
Susunan kedudukan kerusi Ahli Parlimen berubah selepas berlaku pertukaran kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, Mac lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata upacara istiadat pembukaan kali ini ringkas berbanding sebelum ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penularan wabak COVID-19.
"Ia ringkas sikit tapi upacara dan adat istiadatnya masih kekal... (contoh) perbarisan tak dibuat diganti upacara ringkas.
"Kita juga amat mementingkan penjarakan sosial kalau melihat ke dalam (dewan) satu kerusi (Ahli Parlimen) dikeluarkan jadi penjarakan amat selesa," katanya dan menyifatkan raptai hari ini berjalan lancar.
Beliau berkata sebagai langkah pencegahan juga, semua Ahli Parlimen dikehendaki menjalani saringan COVID-19 serta semua yang terlibat pada istiadat pembukaan termasuk kakitangan Parlimen dan petugas media. - BERNAMA
#222 Ahli Parlimen #COVID19 #Dewan Rakyat #Kementerian Kesihatan #Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen #Mohamad Ariff Md Yusof #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #Speaker Dewan Rakyat #susunan kerusi