Susu tiruan: Rasa susu anak anda, jangan selalu tukar - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
Disember 11, 2017 14:37 MYT
Disember 11, 2017 14:37 MYT
Ibu bapa atau penjaga dinasihat untuk membuat pemeriksaan kendiri terhadap kualiti susu bayi yang dibeli sebelum diberi kepada bayi.
Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Norazmir Md Nor berkata pemeriksaan kendiri itu mampu mengelak kesan susu tiruan yang kritikal kepada bayi.
"Ini pentingnya deria rasa dan ibu bapa atau penjaga perlu ikut aturan penyediaan yang terdapat pada tin atau kotak susu di mana kebiasaannya para pengilang atau pengeluar sudah menjalankan ujian dan ada sukatan.
"Sebagai contoh, 120ml air suam untuk 4 penyukat susu. Jadi kita cuba rasa sikit sebelum bagi bayi. Biasanya, proses ini melalui pengalaman kerana kebiasannya kita kena rasa dulu sikit-sikit.
"Jika ada rasa beza lemak atau tawar sahaja, jangan berikan kepada bayi ataupun bila bagi kepada bayi dan bayi akan tolak pengambilan susu itu bila dia rasa berlainan.
"Ia akan dapat dikesan jika yang membuat susu mengikut sukatan sama pun rasanya berbeza kerana kandungan kimia itu yang buat berbeza, bau lebih kuat," beliau bekata demikian ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau yang juga Panel Pengguna Diet Khas Pemakanan dan Nutrisi, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata setiap pengeluar susu perlu mengemukakan laporan kajian serta menghantar sampel untuk diluluskan KKM.
"Kebanyakkan susu bayi ini telah menjalani ujian klinikal terlebih dahulu tetapi susu tiruan hanya menggunakan beberapa bahagian sahaja daripada formula asal di mana bahan kimia berlebihan akan memudaratkan bayi.
"Dalam Akta Makanan 1983 dan pengguna diet khas kepada bayi, KKM memang ada mengeluarkan garis panduan serta kadar-kadar tertentu bahan kimia dalam susu formula.
"Susu tiruan ini selalunya mengandungi bahan kimia yang berlebihan daripada yang dibenarkan," katanya.
Jelasnya, antara gejala yang dihadapi oleh bayi yang diracuni susu tiruan termasuk muntah dan kelesuan hingga boleh menyebabkan bayi itu tidak sedarkan diri.
#air
#bayi
#diet
#Dr Norazmir Md Nor
#Kementerian Kesihatan
#Keselamatan makanan
#kesihatan
#KKM
#kualiti makanan
#kualiti susu bayi
#pemakanan bayi
#pemeriksaan kendiri
#rasa susu bayi
#susu bayi tiruan
#UiTM