Suspek wanita didakwa tipu isteri Along Cham ada lima kes jenayah - Polis

Sinar Harian
Januari 31, 2025 12:40 MYT
Hussein (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Jumaat. -Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang wanita yang ditahan berhubung siasatan laporan kes penipuan RM95,180 yang dibuat isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham dikesan mempunyai lima rekod kes penipuan di empat negeri.

Ringkasan AI
  • Seorang wanita yang ditahan berhubung kes penipuan RM95,180 mempunyai lima rekod kes penipuan di empat negeri.
  • Wanita itu kini direman empat hari manakala suaminya direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sama ada wujud penglibatan pihak berkuasa dalam kes ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rekod yang dilaporkan melibatkan kes di Sabah, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
Tambahnya, wanita itu dikehendaki berkait laporan di Tanjung Aru, Sabah.
"Suspek wanita itu kini direman empat hari manakala suaminya selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Jumaat.
Menurut Hussein, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sama ada wujud penglibatan pihak berkuasa berhubung dakwaan suspek wanita ini untuk membantu menurunkan seksyen tuduhan terhadap Along Cham.
Jelasnya, perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.
"Kita sedang siasat dakwaan siapa pihak berkuasa terlibat itu sama ada polis atau agensi lain atau juga satu tuduhan kepada pihak berkuasa," ujarnya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an itu ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada jam 10 malam, Rabu.
Media melaporkan polis menerima laporan yang dibuat Afreena Suhaimi berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 berkaitan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Siasatan polis mendapati pada Disember lalu mangsa berjumpa dengan suspek bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya (Along Cham) dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian
#Hussein Omar Khan #Along Cham #kes penipuan #Afreena Suhaimi
;