Suspek utama kes tikam wanita China ditahan - Ketua Polis KL
Afiezy Azaman
Disember 5, 2024 11:00 MYT
Disember 5, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita dipercayai suspek utama kes pembunuhan wanita warga China yang maut ditikam di pusat beli-belah di Cheras, pada 29 November lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, suspek berusia 34 tahun yang juga warga China itu ditahan di sekitar ibu negara, pada petang Rabu.
"Polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan tersebut kerana kita tengok (laporan bedah siasat) menunjukkan punca kematian adalah disebabkan beberapa kecederaan akibat senjata tajam.
"Bagi tujuh individu yang ditahan sebelum ini pula kesemua mereka akan disambung semula reman bermula hari ini," katanya kepada Astro AWANI, semasa berkunjung ke Pusat Penyiaran Asia Astro Malaysia Holdings Berhad, di Bukit Jalil, di sini, pada Khamis.
Rusdi berkata, beliau percaya sekiranya keterangan daripada kesemua individu yang ditahan mencukupi, pihak polis akan dapat menyelesaikan kes tersebut.
"Beri polis masa untuk 'establish motif' dan saya percaya kami dapat menyelesaikan kes tersebut," ujarnya.
Pada 29 November lalu, media melaporkan, wanita warga China maut dipercayai ditikam di pusat beli-belah di Cheras antara 3 hingga 4 petang.
Mangsa berusia 49 tahun bekerja sebagai juruwang restoran.
Pada 30 November lalu, polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.