Suspek utama kes pijak penuntut UPNM selesai dirakam keterangan di IPD Cheras

Umavathi Ramayah
November 11, 2024 18:17 MYT
Rusdi berkata, keterangan suspek direkodkan di IPD Cheras, petang Isnin. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan suspek utama kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak, bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi Astro AWANI berkata, keterangan suspek direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang Isnin.
Beliau memberitahu, penuntut tahun tiga itu bagaimanapun tidak ditahan.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya insiden itu hanya melibatkan seorang penuntut senior," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Rusdi berkata, setakat ini polis sudah merekod keterangan 15 individu termasuk sembilan individu pada Ahad.
Selain mangsa dan suspek utama, antara yang diambil keterangan adalah rakan sebilik mangsa, doktor dan pegawai UPNM.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, 21 Oktober, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian berkenaan selepas sesi panggil nama sebelum dipijak oleh penuntut tahun tiga.
Mangsa ketika ini masih lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Kejadian itu berlaku sehari sebelum seorang penuntut universiti sama ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
#UPNM #kes buli #Polis Diraja Malaysia #pijak
;