Suspek tetak adik ditahan selepas mendapat rawatan
Astro Awani
Jun 15, 2016 14:51 MYT
Jun 15, 2016 14:51 MYT
Polis menahan seorang suspek yang dipercayai menetak adiknya sendiri dalam satu pergaduhan di Jalan Tanjung Bendahara di sini, semalam.
Suspek berusia 48 tahun itu ditahan sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mendapatkan rawatan akibat kecederaan di tangan kirinya malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, suspek di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Kota Setar untuk siasatan lanjut.
''Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ujian air kencing terhadap mangsa (adiknya) akan dibuat sebaik keadaannya stabil.
''Kita juga akan rujuk pihak hospital untuk pengesahan kerana berdasarkan tindakan dan kecederaan yang dialami adiknya, kita percaya suspek mungkin mengalami masalah mental,'' katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Mohd Rozi berkata, adik suspek yang dirawat di Unit Rawatan Rapi HSB kini dilaporkan stabil.
Motif serangan belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan.
Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, suspek dipercayai menyerang adiknya kerana salah faham antara mereka.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dada dipercayai akibat tusukan objek tajam serta patah tangan kanan.
#ACP Mohd Rozi Jidin
#Hospital Sultanah Bahiyah
#Ketua Polis Daerah Kota Setar
#tetak adik
#Tetak Alor Setar