Suspek tembak pegawai AmBank direman tujuh hari
Aizat Sharif
November 10, 2013 19:26 MYT
November 10, 2013 19:26 MYT
Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai AmBank, Norazita Abu Talib, 37, dalam kejadian rompakan di bank tersebut di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu telah direman sehingga 16 November untuk membantu siasatan kes tersebut.
Majistret Nazri Omran memberi tempoh reman selama tujuh hari agar siasatan rapi dapat dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.
Sebelum itu, suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar jam 3.40 petang dari lokap Ibu Pejabat Polis Subang Jaya di USJ 8 dengan memakai T-shirt dan seluar jeans berwarna hitam sambil dikawal rapi oleh anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK).
Suspek sebelum itu ditahan oleh sepasukan polis di Kg Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada jam 7 pagi tadi hasil risikan dan maklumat dari orang awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan dengan tertangkapnya suspek utama tersebut, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan.
Sementara itu, ramai pengguna laman media sosial meminta pihak berkuasa menghukum bunuh suspek itu jika didapati bersalah.