Suspek tampar, buli remaja OKU direman tiga hari
Abd Razak Mohd Ali
Mei 8, 2022 11:50 MYT
Mei 8, 2022 11:50 MYT
TAIPING: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes remaja orang kurang upaya (OKU) ditampar dan dibuli di Taman Tasik Taiping, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki berusia 22 tahun itu diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 10.45 malam tadi.
Menurutnya, pihak polis juga telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah Majistret Taiping membenarkan suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 10 Mei ini,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, polis mengesan satu video berdurasi 1 minit 2 saat yang ditularkan di media sosial Facebook yang bertajuk ‘Budak OKU (1) lelaki Melayu kena tampar dan dibuli di Taman Tasik Taiping’
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 2 pagi Sabtu semasa mangsa seorang diri beriadah menggunakan basikal sendiri.
Motif berpunca apabila suspek ingin meminjam basikal milik mangsa yang berusia 13 tahun itu.